Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim beramah mesra bersama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar pada Majlis Indahnya Beraya (KPWKM) di Perkarangan Lobi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 05 JULAI 2017

PUTRAJAYA – Kerajaan bercadang menambah cawangan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak ke negeri-negeri lain selepas yang pertama ditubuhkan di Putrajaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, dua negeri yang patut diberi keutamaan adalah Sabah dan Sarawak kerana ia jauh dari Semenanjung Malaysia.

Setakat ini mahkamah berkenaan hanya berada di Putrajaya dan mengendalikan kes-kes bagi Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan sahaja.

“Kedudukan Sabah dan Sarawak terlalu jauh dan memikirkan bagaimana kita mahu membawa mangsa-mangsa tersebut ke sini tambahan pula mereka pastinya sedang mengalami trauma yang teruk akibat kejadian berkenaan jadi saya merasakan fokus utama adalah membuka Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di dua buah negeri itu.

“Cadangan ini masih belum dibentangkan ke kabinet namun saya pasti ianya tidak mendapat tentangan,” katanya semasa sidang media di sini selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Bersama Kumpulan Sasar KPWKM 2017 di sini hari ini.

Rohani berpuas hati dengan prosiding pertama mahkamah tersebut semalam dan yakin ia bakal memberi keadilan kepada mangsa.

Mahkamah tersebut ditubuhkan bagi mengendalikan kes yang melibatkan jenayak seksual terhadap kanak-kanak tidak dapat diteruskan akibat kekurangan bukti.

Ia ditubuhkan untuk memberi ketenteraman kepada kanak-kanak mangsa jenayah seksual agar mereka dapat memberi lebih banyak maklumat mengenai kejadian yang menimpa mereka.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu buli, Rohani berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersetuju perkara tersebut dibawa ke Majlis Sosial Negara.

“Kes buli tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada kami (KPWKM) sahaja. Jadi dengan dibawa ke Majlis Sosial Negara, pendekatannya lebih menyeluruh kerana melibatkan Kementerian Pendidikan, pihak polis dan sebagainya,” katanya lagi.-MalaysiaGazette