Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB), Mahadzir Mustafa

KUALA LUMPUR- Rundingan berhubung migrasi pengurusan air di tiga buah negeri, Kedah, Terengganu dan Pahang masih lagi berjalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Bhd. (PAAB), Mahadzir Mustafa berkata, masih banyak perkara yang perlu diperhalusi dipersetujui sebelum sebarang perjanjian ditandatangani.

Ketiga-tiga buah negeri ini merupakan negeri terakhir yang masih belum melaksanakan penstrukturan bekalan air.

“Kita memerlukan lebih banyak masa untuk mengadakan rundingan kena memperhalusi beberapa perkara termasuk jenis-jenis aset yang bakal diambil alih oleh PAAB.

“Kita juga perlu bersetuju dengan jangkaan (hasil) pada masa hadapan.

“Kita tidak meletakkan sebarang tempoh masa untuk memuktamadkan rundingan, ada rundingan yang sudah berada di peringkat tinggi dan ada lagi yang masih di peringkat asas,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAAB di sini hari ini.

Menurut sumber, rundingan dengan Kedah sedang berada di peringkat akhir dan ianya dijangka dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.

Migrasi air di negeri tersebut pastinya bakal menyelesaikan pelbagai isu bekalan air yang melanda negeri berkenaan sejak sekian lama.

Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan kerajaan Kedah sedang memperhalusi perjanjian dengan kerajaan Persekutuan melalui PAAB bagi menguruskan komitmen hutang mereka dengan lebih baik.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber dan Bekalan Air Negeri, Datuk Badrul Hisham, sekiranya Kedah melaksanakan migrasi aset airnya, negeri tersebut mampu melupuskan RM336 juta daripada keseluruhan hutang yang ditanggung sebanyak RM2.2 bilion.

Ini menjadikan baki hutang adalah sebanyak RM1.9 bilion dan perkara tersebut masih menjadi isu kepada kerajaan negeri Kedah yang mana mereka berharap agar baki hutang dapat dikurangkan kepada RM500 juta.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status terkini pengambilan alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (Splash), Mahdzir berkata, semuanya bergantung kepada rundingan di antara Kerajaan Selangor dan Splash manakala PAAB hanya menantikan keputusan daripada mereka.

“Penghijrahan Splash bergantung kepada kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih syarikat itu.

“Kami di PAAB hanya memudah cara sahaja dan ketika ini kami sedang menunggu sebarang keputusan daripada mereka.

“PAAB akan membiayai sebahagian daripada urusniaga tersebut dengan nilai yang sama dengan aset yang bakal dipindahkan kepada kami nanti,” katanya lagi.

Pada Mac lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyalahkan kerajaan Persekutuan di atas kelewatan pengambilan alih Splash oleh kerajaan negeri.

Menurut Mohamed Azmin, terdapat beberapa isu yang perlu mendapat penjelasan antaranya Kerajaan Negeri Selangor perlu menanggung 40 peratus daripada kos keseluruhan pengambilan alih yang mana menurut beliau sepatutnya ditanggung kerajaan sepenuhnya.-MalaysiaGazette