Penaung Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Tan Sri Rafidah Aziz (dua dari kanan) bersalaman dengan Pengerusi Etiqa Insurance Berhad dan Etiqa Takaful Berhad, Datuk R. Karunakaran (dua kiri) ketika membuat pertukaran perjanjian persefahaman dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Holdings Berhad, Kamaludin Ahmad (kiri) dan Presiden Perubatan NCSM, Dr. Saunthari Somasundram (kanan) pada sidang media Program Mammogram Percuma Etiqa di Hotel Double Tree Hilton, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JULAI 2017

KUALA LUMPUR- Syarikat insurans dan Takaful, Etiqa dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NSCM) memeterai perjanjian perkongsian untuk melancarkan program pemeriksaan kanser payudara secara percuma.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Holdings Bhd., Kamaludin Ahmad, program yang bernilai RM1.67 juta itu menyasarkan golongan wanita daripada isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah.

Ia akan dijalankan selama setahun.

“Program ini adalah pemberian semula kepada komuniti. Ia bukan bermotifkan keuntungan dan tidak hanya tertakluk kepada pelanggan kami sahaja.

“Ia terbuka kepada semua wanita yang berada dalam kategori pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah,” katanya semasa sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian berkenaan yang turut dihadiri oleh Penaung NCSM, Tan Sri Rafidah Aziz dan Pengerusi Etiqa Insurance Bhd. dan Etiqa Takaful Bhd., Datuk R. Karunakaran.

Jelas Kamaludin, proses pemilihan peserta dilakukan mengikut wilayah dengan bantuan ketua masyarakat.

Wanita-wanita yang layak akan dibawa ke Klinik Saringan Kanser dan Kesihatan NSCM, Kuala Lumpur atau mana-mana hospital yang terpilih di semenanjung untuk mendapatkan khidmat mammogram percuma.

Program tersebut telah bermula sejak Jumaat lalu yang telah melibatkan 200 wanita.

Katanya, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal kanser dalam kalangan wanita yang kurang berkemampuan.

Terdahulu, Penaung NCSM, Rafidah berkata, penglibatan syarikat korporat di dalam meningkatkan kesedaran mengesan kanser lebih awal amat-amat dialukan.

Tambahan pula ketika pertumbuhan ekonomi negara agak perlahan ketika ini.

“Ekonomi Malaysia mungkin menghadapi beberapa cabaran dan badan-badan amal secara keseluruhannya bersedia untuk menghadapi masa yang sukar.

“Walaupun banyak perniagaan mengamalkan polisi ikat perut, kami kagum dengan syarikat-syarikat seperti Etiqa yang masih sudi menyumbang kepada masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan sebelum memeterai perjanjian tersebut.-MalaysiaGazette