Temubual bersama Imam Masjid Felda Jengka 21 Pahang, Mat Isa Megat Saad pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardhu Haji di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 11 JULAI 2017.

PUTRAJAYA – “Ibadat haji kami diterima atau tidak, kami kena yakin pada Allah,”

Itu kata Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Maran, Pahang, Azman Shaari.

Beliau antara 1,100 bakal haji bawah program khas 1Malaysian Development Berhad (1MDB) 2017 berkata, orang lain tidak perlu hendak menjadi tuhan dengan menjatuh hukum ibadat haji mereka yang ditaja oleh kerajaan itu tidak sah.

“Jangan risau status haji kita sah atau tidak. Kita kena yakin pada Allah kerana Dia yang menentukan,” katanya sebagai mengingatkan kepada rakan sejawatan dan imam yang bakal menunaikan fardu haji bulan depan.

Azman berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardu Haji – Program Khas Haji Perdana Menteri, Yayasan 1MDB di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Surat tawaran fardu haji itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada 1,100 bakal haji yang melibatkan Imam dan Pengerusi JKKKP dari seluruh negara.

Mengulas lanjut, Azman bersyukur dan bertuah kerana dipilih oleh kerajaan untuk menyertai rombongan jemaah haji tahun ini, walaupun melalui tajaan kerajaan.

“Inilah cita-cita saya selama ini. Tidak terbayang dan terfikir dapat tunai haji secepat ini kerana simpanan pun belum cukup dan kena tunggu (giliran) lama.

“Apabila diberitahu nama saya terpilih, saya dan keluarga anggap inilah peluang terbaik dan berita yang amat menggembirakan saya sekeluarga,” katanya.

Katanya, beliau dan rakan berjanji akan menjaga nama baik negara sepanjang menunaikan ibadat haji di Mekah serta menyifatkan Najib sebagai pemimpin penyayang kepada rakyat.

Imam Masjid Felda, Jengka 21, Mat Isa Megat Saad pula berkata, beliau tidak perlu menunggu sehingga tahun 2038 untuk menunaikan haji sebaik dimaklumkan namanya terpilih sebagai bakal haji musim ini.

Ujarnya, beliau pada mulanya menyangka ia sebagai gurauan kerana sedikit pun tidak menaruh harapan dapat bersama rombongan jemaah haji program khas 1MDB.

“Sejak dulu lagi saya ada menabung. Tetapi akan mengambil masa berpuluh tahun untuk mencukupi perbelanjaan ke Mekah.

“Tambahan pula Lembaga Tabung Haji (TH) menyatakan giliran saya ke Mekah ialah pada tahun 2038 iaitu 21 tahun lagi dari sekarang.

“Masa tu kalau dipanjangkan umur, usia saya dah cecah 89 tahun. Bayangkan dalam usia itu saya ke Mekah mengerjakan haji,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri.

Sambil mengesat air mata, Mat Isa memberitahu, impiannya untuk menjijakkan kaki ke tanah suci Mekah telah dimakbulkan Allah.

“Rasa seperti bermimpi dan semua keluarga begitu gembira,” katanya yang mendapat sokongan dari isteri.

Menurutnya, walaupun isteri tidak dapat bersamanya dengan rombongan program khas haji Perdana Menteri, tetapi salah seorang dari mereka dapat menunaikan Rukun Islam kelima itu sudah lebih daripada syukur. – MalaysiaGazette