Abdullah Hamid Jaafar

KUALA LUMPUR – Kelab Alumni Azizian menjangkakan lebih 1,000 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz (SMKSAA), Teluk Intan, Perak berkumpul pada Majlis Reunion Gabungan Azizian@Perjumpaan Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu ini.

Majlis itu dikatakan melibatkan kehadiran bekas pelajar dan guru dari enam generasi yang pernah belajar serta mengajar di sekolah itu sejak lebih 60 tahun lalu.

Menurut Ketua Penasihat Kelab Alumi Azizian, Datuk Abdullah Hamid Jaafar, perjumpaan bermula jam 2 petang hingga 7 malam itu diadakan bagi merai dan menghargai peranan serta sumbangan SMKSAA yang melahirkan ramai tokoh berjaya.

Di samping itu, kata beliau, ia dapat mengumpulkan bekas pelajar dan guru sejak beberapa generasi bagi merangka pelbagai lagi program yang bermanfaat khususnya untuk SMKSAA dan warganya termasuk bekas pelajar.

“Saya menyeru kepada bekas pelajar dan guru SMKSAA sama-sama hadir pada majlis ini kerana ia julung kali diadakan sejak 1950-an. Ini bukan sekadar kita bertemu mata, malah lebih dari itu untuk mengeratkan ukhwah serta mengajak bersama dengan Kelab Alumni Azizian.

“Melalui kelab ini kita dapat merancang banyak program pada masa akan datang untuk manfaat sekolah dan bekas pelajar. Mungkin dengan cara ini kita mampu menyumbang dan membantu bekas pelajar atau guru yang menghadapi pelbagai masalah.

“Bukan itu saja, kelab ini juga untuk membuktikan kemasyhuran SMKSAA yang telah melahirkan ramai bekas pelajar berjaya dan menjadi tokoh disegani dalam negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Abdullah Hamid, majlis perjumpaan itu dijangka disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO) yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau turut menjangka beberapa tokoh akan hadir ialah bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib yang bekas pelajar SMKSAA tahun 1958 yang ketika itu dikenali sebagai Government English School (GES).

Tokoh lain yang merupakan bekas pelajar sekolah itu ialah Leftenan Kolonel (B) Polis Tentera, Mohd Nizar Darus; penerima Anugerah Sasterawan Pahang, Datuk Dr. Mohd Mansor Abdullah; pakar motivasi Dr. Mat Saad Baki dan Jeneral (B) TUDM, Tan Sri Abdullah Ahmad.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Alumni Azizian, Fauzi Zulkifli berkata, majlis berkenaan turut terbuka kepada bekas pelajar dan guru SMKSAA bukan Islam.

“Kita mengalu-alukan kehadiran mereka yang bukan beragama Islam untuk turut serta dalam majlis ini. Bagi kami semua warga SMKSAA adalah satu keluarga.

“Kita juga memerlukan peranan mereka yang bukan beragama Islam ini untuk turut serta dalam alumni dan seterusnya menyumbang kepada pelbagai program yang akan dilaksanakan nanti,” katanya.

Beliau berkata, bagi mendapatkan maklumat mengenai majlis reunion itu, bekas pelajar dan guru SMKSAA boleh menghubungi beliau di talian 019-420 8796 atau Sekretariat Media, Elly di talian 018-352 5789. – MalaysiaGazette