Abdullah Mat Yasim

KUALA LUMPUR – Anak muda dalam kawasan Parlimen Rantau Panjang yang masih gagal mendapat pekerjaan disarankan terlibat dengan perniagaan.

Ketua UMNO Bahagian, Senator Datuk Abdullah Mat Yasim berkata, beliau bersedia membantu mencapaikan impian mereka asalkan rajin dan mempunyai semangat untuk mencari rezeki melalui perniagaan, bukan bekerja makan gaji.

Katanya, beliau menerima banyak pertanyaan dari anak muda di kawasan Parlimen itu mengenai jawatan kosong di jabatan dan agensi kerajaan serta swasta.

“Dengan kawasan yang kecil dan kewujudan jabatan serta agensi kerajaan yang agak terhad tentulah tidak menjanjikan peluang pekerjaan mencukupi.

“Tetapi, kaedah terbaik untuk keluar dari kepompong penganguran ialah perniagaan. Tidak kiralah berniaga secara kecil-kecilan sekali pun, asalkan ia menjanjikan rezeki,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Abdullah berkata, jika ramai berminat dengan saranannya itu, beliau akan mengadakan perbincangan dengan jabatan dan agensi kerajaan untuk membantu dari segi modal, latihan dan khidmat nasihat.

Katanya, beliau akan membawa Tekun Nasional (Tekun), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan beberapa agensi bawah kementerian berkaitan.

“Anak-anak Rantau Panjang yang minta berniaga, datang jumpa saya. Kita bincang apa jenis perniagaan yang sesuai. Ini (berniaga) lebih baik dari kerja makan gaji.

“Jangan bimbang pasal modal, yang penting ada minat. Saya kasihan dengan rakyat kawasan ini. Setiap hari datang jumpa saya tanya kerja kosong atau ada yang minta saya tolong dengan pihak atasan untuk memberi peluang pekerjaan.

“Lagipun yang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berapa sangat gaji, malah ada yang sudah dapat kerja pun merungut kerana gaji kecil,” ujar beliau.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kerajaan Pas Kelantan, sejak memerintah tahun 1990 gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. – MalaysiaGazette