Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyambut baik langkah proaktif kerajaan Pas Kelantan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang membolehkan hukuman sebat dijalankan di tempat terbuka.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, perkara berniat baik yang selaras dengan tuntutan syariat Islam harus diberi sokongan umat Islam.

“Perkara yang baik kita beri sokongan penuh tetapi jika ada perkara kurang baik dan tidak betul, Perkasa tetap menentangnya seperti isu pembalakan, kemunduran rakyat dan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

“Dalam bab ekonomi, pembangunan, pengangguran dan penghijrahan rakyat Kelantan, kita amat kecewa dengan kerajaan Pas Kelantan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Kelmarin, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan RUU Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) yang antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

RUU itu juga memperuntukan kuasa kepada pegawai penguatkuasa agama menggunakan gari ke atas suspek, selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan,

Pindaan itu dicadangkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut Ibrahim, selain membenarkan video digunakan, Perkasa mencadangkan kepada kerajaan negeri itu agar dipertimbangkan pelaksanaan hukuman sebat itu disiarkan secara langsung di televisyen bagi tujuan pencegahan dan iktibar.

“Enakmen itu adalah sebahagian daripada persiapan kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (2015) sekiranya Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) diluluskan di Dewan Rakyat kelak,” katanya.

Kata beliau, sebat adalah hukuman yang disyariatkan Islam mengunakan rotan, cemeti atau ranting pokok yang bersaiz sederhana.

“Ianya harus dipukulkan ke atas pesalah yang melanggar syariat Islam seperti meminum arak, berjudi, melakukan zina dan menuduh orang lain melakukan zina.

“Ada beberapa peruntukan hukuman sebat dalam al-Quran dan Hadis mengenai pelaksanaan hukuman sebat ke atas pelanggaran syariat Islam, antaranya berzina, meminum khamar (arak) dan perbuatan qazaf.

“Terdapat juga beberapa kesalahan sama ada kesalahan hudud mahupun takzir yang boleh dikenakan hukuman sebat seperti kesalahan zina, menuduh perempuan baik berzina dan meminum khamar bagi kesalahan hudud, manakala kesalahan takzir pula boleh dikenakan hukuman sebat seperti rasuah dan memakan harta haram,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, semua pindaan itu masih terikat dengan pelaksanaan dan kelulusan pindaan RUU RUU 355 yang kini belum selesai di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette