Muhammad Khalil Abdul Hadi
Muhammad Khalil Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) menyifatkan tindakan rejim Israel mengharamkan warga Palestin memasuki Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat kelmarin sebagai biadab dan melampau.

Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kebiadaban itu akan mewujudkan ketegangan baru di bumi yang dijajah sejak 1948 itu.

Kata beliau, langkah agresif itu mengulangi tragedi melampau ektremis Yahudi yang pernah bertindak membakar sebahagian Masjid al-Aqsa pada 1969 hingga ditutup seketika dan mengundang reaksi kebangkitan kaum muslimin di negara itu dan dunia amnya.

Jelasnya, perbuatan itu berisiko meletuskan pertempuran berikutan tercabarnya maruah dan kesabaran umat Islam apabila Israel berterusan menceroboh kesucian kiblat pertama dan masjid ketiga terpenting bagi umat Islam itu.

“Kami khuatir sentimen berbangkit bakal meletuskan tragedi lebih besar yang membawa kepada peperangan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Jumaat lalu, dua anggota polis Isreal yang bertugas mengawal Masjid al-Aqsa ditembak mati oleh tiga orang Arab, ketika umat Islam warga Palestin hendak menunaikan solat Jumaat.

Berikutan itu, Isreal mengancam akan menutup rumah ibadat tertua bagi umat Islam itu termasuk mengharamkan warga Palestin menunaikan solat Jumaat.

Sehubungan itu, Muhammad Khalil menggesa Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) dan Ketua Negara Islam segera mengadakan sidang tergempar bagi membincangkan tindakan tegas ke atas rejim Zionis Israel rentetan insiden tersebut.

Tegas beliau, Masjid al-Aqsa mesti dibebaskan segera dan maruahnya perlu dikembalikan secara aman dan damai.

“Kita juga menuntut kerajaan Malaysia menzahirkan tanggungjawab dan keprihatinan dengan segera mengangkat usul tergempar melalui sidang Parlimen bagi mengutuk kebiadaban, keangkuhan dan penindasan berterusan yang dilakukan rejim Zionis Israel ini agar ia dapat dihentikan.

“Kami turut menyeru seluruh umat Islam bangun bersolidariti bersama warga Palestin bagi meningkatkan usaha pembebasan Masjid al-Aqsa menuju kemerdekaan hakiki Palestin.

“Kami berharap agar munajat memohon doa kesejahteraan dan keselamatan Palestin dapat dilaksanakan seluruh umat Islam,” katanya. – MalaysiaGazette