Pengidap HIV kesal, menangis rindukan emak

PUCHONG – Khairuddin Rosli merupakan bekas penagih dadah tegar di Jalan Masjid India suatu ketika dulu dan kini merupakan salah seorang daripada 40 penghuni Rumah Perlindungan HIV Lelaki Muslim Darul Ukhwah, Puchong.

Selepas berpuluh tahun bergelumang dengan najis dadah, beliau lebih mesra dengan panggilan Din mahu menjalani hidup yang baru, meskipun agak terlambat setelah dijangkiti Human Immunodeficiency Virus (HIV).

Menceritakan kisah hidupnya sebagai penagih dadah tegar, lelaki berusia 42 tahun itu antara pengalaman paling teruk yang terpaksa dilalui oleh abang sulung kepada lapan beradik itu adalah dipulau dan dibuang oleh kaum keluarganya.

Akhirnya, kehidupan Din terpaksa diteruskan di tepi-tepi jalan, selain bawah jambatan sebagai seorang gelandangan.

Beberapa kali menjalani terapi untuk menghilangkan ketagihan dadah namun tetap gagal sehinggalah beliau menetap di Rumah Perlindungan HIV Lelaki Muslim Darul Ukhwah, Puchong.

Kini Din amat merindui kaum keluarganya hendak pula dalam musim hari raya seperti sekarang tetapi terpaksa pasrah dengan kesilapannya sendiri walaupun jauh disudut hatinya kerinduannya membuak-buak.

Adakala Din hanya bertemankan air mata mengatasi kesedihannya dan berharap satu hari nanti adik beradiknya akan memaafkannya sebelum dia menutup mata. – MalaysiaGazette