Tunku Aminah.

JOHOR BAHRU – Anakanda Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah bakal melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki Belanda, Dennis Muhammad Abdullah di Istana Bukit Serene pada 14 Ogos 2017 ini.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Permaisuri Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah telah memberi perkenan dan restu untuk Tunku Tun Aminah melangsungkan perkahwinannya,” kata Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli hari ini.

Dalam satu sidang media di Bukit Timbalan hari ini, beliau berkata, istiadat pertunangan akan diadakan pada jam 10 pagi di Istana Bukit Serene, diikuti dengan istiadat nikah.

Tuanku Sultan berkenan mewakilkan Mufti Negeri Johor, Datuk Muhammad Tahril Bin Datuk Shamsudin sebagai wali.

“Istiadat perkahwinan pasangan Pengantin DiRaja ini akan dilaksanakan dengan penuh istiadat Melayu dan budaya Istana Johor,” kata Rahim.

Beliau berkata istiadat persandingan akan diadakan di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor Bahru disebelah malam pada hari yang sama.

Dennis telah memeluk agama Islam pada 31 Mei 2015.- MalaysiaGazette