Kongsi
Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad bersama Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad, Tan Sri Sulaiman Mahbob (tiga kanan) sempat meluangkan masa berswafoto dengan kakitangan FGV pada Majlis Riang Ria Hari Raya FGV di D'Saji Titiwangsa, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Pengerusi Felda, Tan Sri Abdul Shahrir Samad mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan terhadap pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London oleh anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC).

Menurut Shahrir, beliau gembira apabila SPRM mengumumkan terdapat maklumat terkini berhubung kes tersebut dan melakukan serbuan pagi tadi.

Seramai lapan orang pegawai penyiasat SPRM tiba di Pejabat FIC kira-kira jam 10 pagi tadi untuk memulakan proses siasatan termasuk mendapatkan dokumen berkaitan.

Pada 10 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengumumkan penemuan baharu bukti-bukti yang boleh dikaitkan dengan pembelian hotel bernilai RM330 juta itu dan sekaligus mengarahkan pasukan penyiasat membuka kertas siasatan baharu terhadap Felda.

“Saya gembira kerana adanya maklumat baharu tersebut dan ini membuktikan Felda memang mahu memerangi rasuah seperti mana yang kami zahirkan melalui ikrar anti rasuah dengan SPRM dan ia juga bermakna peperangan terhadap rasuah adalah amalan harian kami.

“Saya tidak tanya pun siapa yang akan dipanggil mahupun siapa yang memberi maklumat tetapi saya sokong apa-apa tindakan memerangi rasuah.

“Kami serahkan semuanya kepada SPRM,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri FGV di sini hari ini.

Pada Februari tahun lalu, SPRM pernah membuka kertas siasatan terhadap urusniaga sebuah hotel di London oleh FIC dengan memanggil beberapa individu termasuk anak lelaki bekas Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Isa Abdul Samad, ahli perniagaan dan pegawai-pegawai FIC.

Bagaimanapun, kes tersebut ditutup dan menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab ke atas integriti dan ketelusan ketika itu, Paul Low, SPRM tidak menemui sebarang salah laku berhubung pembelian tersebut.

Dalam perkembangan lain, Shahrir berkata, beliau gembira dengan barisan ahli lembaga pengarah FIC yang baharu sejak Mac lalu dan mahu berusaha untuk meningkatkan urus tadbir agensi berkenaan.

“Semasa saya mula-mula menjadi Pengerusi Felda, saya meminta semua ahli lembaga pengarah FIC meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan prestasi mereka.

“Prestasi FIC menjadi cerminan kepada prestasi mereka (ahli lembaga pengarah lama),” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

 

 

 

 

Tinggalkan Jawapan