KUALA LUMPUR – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sentiasa mengingatkan pegawai dan kakitangannya agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan berkaitan rasuah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Salim Taha berkata, setiap bulan mereka diberi peringatan itu dalam perhimpunan keluarga (warga) bahawa perbuatan sama ada menerima atau memberi rasuah sangat bahaya.

Menurutnya, dalam apa sahaja bidang tugas dan jawatan yang dipegang kakitangan serta pegawainya, ia sentiasa didampingi dengan bahaya itu.

“Setakat ini, kita bebas dari isu atau kes rasuah melibatkan kakitangan LPP,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan LPP di Dewan Tan Sri Abu Zahar di Menara LPP di sini hari ini.

Seramai 200 kakitangan dan pegawai LPP berhimpun pada majlis itu, di samping melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Kata Mohd. Salim, LPP komited memberi kesedaran kepada warganya dengan menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Unit Integriti di LPP pusat di Kuala Lumpur.

Jelas beliau, pegawai berkenaan yang berjawatan sebagai Penolong Pengarah akan memantau setiap aktiviti kerja kakitangan serta pegawai LPP.

“Dengan adanya pegawai SPRM sepenuh masa di ibu pejabat LPP, ia akan menyedarkan keseluruhan kakitangan dan pegawai agensi ini untuk lebih berhati-hati dalam pekerjaan serta tidak sekali-kali terlibat dengan rasuah.

“Kita tidak akan berkompromi jika ada kakitangan kita yang terlibat dengan rasuah,” katanya sambil menyifatkan warga LPP sebagai pekerja yang baik dan berintegriti.

Pada perhimpunan yang turut dihadiri wakil SPRM, semua kakitangan dan pegawai LPP melafaz IBR dan turut berjanji akan sama-sama memerangi kegiatan rasuah dalam kalangan penjawat awam. – MalaysiaGazette