Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor (tiga kanan), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) menunjukkan plak sebagai simbolik perasmian MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) Line di Stesen MRT Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 17 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkhidmatan tren Aliran Transit Massa (MRT) di negara ini setanding dengan tren ternama dunia serta dapat dimanfaatkan oleh rakyat jelata selain merancakkan pembangunan ekonomi.

Menurut perdana menteri, maklum balas yang beliau terima dari rakyat Malaysia yang pernah menggunakan perkhidmatan tren di London, New York dan Singapura menzahirkan bahawa MRT di negara ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan di negara-negara maju.

“Ada orang datang bagitahu saya, bahawa MRT yang kita laksanakan adalah lebih baik daripada subway London, New York, tetapi setanding Singapura (sambil ketawa).

“Kita boleh berdiri setanding dengan perkhidmatan ternama dunia,” katanya dalam ucapan perasmian MRT di stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), hari ini.

Malah menurut Najib, impak pelaksanaan MRT SBK fasa kedua bersifat menyeluruh dan dinikmati segenap lapisan masyarakat serta industri.

“Ia bukan sekadar satu bentuk kemudahan buat rakyat, malah menjadi galakan kepada projek pembangunan ekonomi setempat selain kawalan pencemaran udara.

“Lebih membanggakan, kos asal projek infra rakyat ini adalah RM23 bilion, namun selepas disiapkan, ia hanya berjumlah RM21 bilion, iaitu penjimatan RM2 bilion,” katanya.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara yang juga Pengerusi MRT Corp, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut hadir, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim.

Selesai pelancaran itu, Najib dan barisan Kabinet dibawa menaiki tren MRT menuju stesen Kajang bagi menghadiri pelancaran stesen MRT Kajang.

Dianggarkan lebih 20,000 warga Kajang diraikan sempena perasmian tren MRT Sungai Buloh-Kajang, fasa kedua hari ini. -MalaysiaGazette.