Atlet Lompat Kijang Perak yang juga pemenang pingat emas, Muhd Hakimi Ismail (tengah) bergambar bersama pemenang pingat perak, Ronne Malipay (Philipina) (kiri) dan pemenang pingat gangsa, Jonathan Larus (Sabah) kanan) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. foto SAFWAN MANSOR, 17 JULAI 2017
KUALA LUMPUR – Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail meraih emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia setelah mencatat lompatan 16.33 meter malam ini.
Berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, atlet kelahiran Perak ini tidak berdepan masalah untuk meninggalkan pencabar terdekat dari Filipina di tempat kedua dengan lompatan 15.46 meter.

Kejayaan tersebut dilihat sebagai pembakar semangat buat Hakimi menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan.

Catatan terbaik Hakimi kekal dengan 16.76 meter yang dilakukannya ketika Sukan SEA Singapura, dua tahun lalu.

Catatan peribadi kedua terbaik dalam kariernya pada tahun ini adalah 16.61 meter pada Terbuka Selangor, Mei lalu.

Dalam acara 100 meter lelaki pula, pelari dari Maldives, Hassan Said muncul sebagai raja pecut dengan catatan 10.49 saat.

Dia mudah meninggalkan dua pelari negara di tempat kedua dan ketiga iaitu Muhammad Haikal Hanafi dan Badrul Hisyam Abdul Manaf.

Muhammad Haikal mencatat masa 10.55 saat manakala Badrul Hisyam dengan catatan 10.62 saat.

Atlit lompat kijang, Muhd Hakimi Ismail melakukan lompatan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 JULAI 2017.

Sementara itu, Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia itu yang turut dikenali Kejohanan Pra Sukan SEA disertai kira-kira 266 atlet daripada sembilan negara termasuk Thailand, Laos, Brunei, Indonesia dan Singapura selain Malaysia selaku tuan rumah.