Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (kiri) menyerahkan cek zakat kepada Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Sabah (MUIS), Tuan Junaidi Jamahad (kanan) sambil disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman (tengah) pada Majlis Penyerahan Zakat lebih RM19 Juta kepada Negeri Sabah di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 17 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Sabah menjadi negeri kedua terbesar menjadi pelabur dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melibatkan sermai 1.4 juta pelabur.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM19.6 bilion telah dilaburkan yang menjadikan jumlah tersebut sebagai keempat tertinggi di Malaysia.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar pada majlis penyerahan cek zakat perniagaan kepada kerajaan negeri Sabah.

“Kami di PNB amat gembira dengan perkembagan Kumpulan PNB terutama di Sabah di mana Sabah menjadi negeri kedua terbesar pelabur ASNB dan keempat daripada segi nilai.

“Daripada segi jumlah itu kita seramai 1.4 juta pelabur daripada negeri Sabah dengan jumlah pelaburan sebanyak RM19.6 bilion.”

Selangor pula menjadi negeri tertinggi jumlah pelabur seramai 1.95 juta pelabur berjumlah 49.5 bilion unit saham.

Negeri ketiga, Johor dengan jumlah pelabur seramai 1.4 pelabur membawa jumlah 18.4 bilion unit saham.

Sehubungan itu, PNB hari ini membuat bayaran zakat perniagaan kepada kerajaan negeri Sabah yang berjumlah RM19,365,600.00.

Pembayaran tersebut dibuat melalui cek yang disampaikan oleh Wahid  kepada wakil Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, bayaran zakat tersebut bakal disalurkan kepada kumpulan asnaf dan golongan yang memerlukan di negerinya.

“Ia (zakat) memberi ruang dan peluang untuk disalurkan kepada asnaf dan mereka yang memerlukan bantuan. Kita juga bersyukur kerana rakyat Sabah yang sentiasa memberi sokongan kepada PNB untuk terus melabur,” katanya. -MalaysiaGazette