Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut mengiringi Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie bersalaman dan beramah mesra dengan warga TNB pada Majlis Mesra Aidilfitri Tenaga Nasional Berhad di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan TNB, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Sebagai sebuah organisasi yang disegani, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak boleh berada dalam keadaan statik.

TNB perlu berinovasi, gesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sambil mengiktiraf TNB susulan kejayaan meningkat 15 anak tangga kepada kedudukan ke-24 dalam 50 jenama utiliti terkemuka – Brand Finance Global 2017, atau Utilities 50 (2017), Najib mahu TNB perlu mengekalkan prestasi baik tersebut dengan melakukan pembaharuan yang bermanfaat.

“Kejayaan ini bererti bahawa apa yang dilakukan TNB kebelakangan ini membawa keberhasilan yang terbukti boleh dinilai seperti mana saya sebut tadi.

“Ini juga bererti bahawa sebagai organisasi, TNB tak boleh berada dalam keadaan statik, ini bukan satu pilihan bagi mana-manaa organisasi dinamik yang nak mendahului pesaing-pesaing lain ataupun to be at forefront in terms of competition or even to make competition relevant.

“TNB kena sentiasa berinovasi membuat pembaharuan dan melihat kekuatan dan kelemahan untuk terus memperbaiki prestasi sebagai warga kerja TNB dan sebagai sebuah organisasi,” kata Najib semasa menghadiri Rumah Terbuka TNB di Kuala Lumpur petang tadi.

Menurut Perdana Menteri, TNB memiliki dua fungsi yang penting iaitu memberikan bekalan tenaga elektrik kepada seluruh rakyat disamping menjana hasil kepada tenaga dimana kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada mereka.

Jelas Najib, TNB perlu mengekalkan prestasi cemerlang dengan mengembangkan khidmat utiliti kepada negara luar dan seterusnya menjana keuntungan kepada negara.

“Prestasi kukuh TNB membuka peluang untuk syarikat lebarkan sayap ke negara lain seperti Turki, Arab Saudi dan lain-lain.

“Setiap kejayaan dicapai hasil usaha dan sokongan padu seluruh 36 ribu warga kerja di peringkat seluruh negara,” katanya.

Selain itu, beliau juga melahirkan rasa gembira kerana warga kerja TNB bersatu hati dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka tanpa ada sebarang pertikaian.

“Saya senang hati lihat persatuan pekerja duduk semeja, ini yang kita nak supaya kita bertindak as a family always finding solution harmonise and work together,” ujarnya. – MalaysiGazette