Ahmad Zahid Hamidi

CYBERJAYA – Kecekapan kerajaan pusat di bawah kepeimpinan Datuk Seri Najib Razak yang berjaya menyelesaikan isu-isu berbangkit, menjadi faktor utama mesyuarat UMNO di peringkat-peringkat bahagian menjadi sepi daripada isu hangat.

Meskipun mesyuarat perwakilan UMNO di peringkat-peringkat bahagian, sudah berlangsung selama tiga minggu namun, tiada sebarang isu besar atau hangat yang diusulkan ataupun diutarakan dalam mana-mana ucapan penangguhan.

Demikian menurut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ketika ditanya pemberita berkenaan suasana ‘sepi’ berkenaan.

“Saya rasa tidak ada isu hangat yang perlu ditonjolkan sebagai usul atau di dalam ucapan penangguhan di mesyuarat UMNO peringkat bahagian.

“Mungkin ini setelah timbul dalam kalangan mereka telah banyak isu telah dapat ditangani oleh pemimpin pusat dan negeri disamping kerja sama yang erat bagi penyelesaiannya di pelbagai peringkat.

“Umpamanya, isu yang kerap dibangkitkan ini biasanya dekat dengan rakyat dan telah dikendalikan sebaiknya oleh kepimpinan peringkat pusat dan negeri.”

Terdahulu, Zahid menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian konsesi Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Prestariang Sdn. Bhd. di Cyberjaya.

Sistem yang bakal diperkenalkan pada 2021 itu merupakan salah satu usaha kerajaan melalui KDN dalam meningkatkan infrasturuktur sistem ICT di Jabatan Imigresen Malaysia.

SKIN, ketika pelaksanaannya bakal menaik taraf sistem dan program Business Process Reengineering (BPR) ke atas myIMMs yang mempercepatkan fungsi-fungsi di jabatan berkenaan.

Tambah Zahid, dalam ucapannya, SKIN merupakan platform komprehensif dan bersepadu untuk memodenkan teras-teras utama aplikasi dan infrastruktur di dalam sistem kawalan imigresen. – MalaysiaGazette