Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Mahathir Mohamad (kiri) bercakap pada sidang media mengenai Program Nothing To Hide 2.0 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 JULAI 2017

PUTRAJAYA – Selepas penganjuran Nothing To Hide yang diadakan sebelum ini tidak berjaya, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan hasratnya untuk berforum dengan Datuk Seri Najib Razak.

Menggunakan platform Nothing to Hide 2.0, Dr Mahathir berkata, penganjuran forum tersebut yang akan berlangsung bulan depan akan menjawab semua soalan yang dibangkitkan terhadapnya, termasuk tuduhan berkaitan salah laku dana awam.

“Najib patut hadir sama dan beri jawapan atau buat tuduhan kepada saya.

“Kita akan beri penjelasan kepada semua,” katanya ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Menurut Mahathir, polis tidak akan menghalang forum itu diadakan sekirannya Najib hadir kerana beliau merupakan seorang perdana menteri.

Katanya, majlis anjuran Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu akan berlangsung di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam.

Ia akan diadakan pada 13 Ogos bermula jam 3 petang dan akan dikendalikan oleh Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Tambahnya, hadirin yang hadir pada program itu nanti akan diberi peluang untuk bertanya soalan termasuk wakil media yang membuat liputan.

Ujarnya, forum tersebut akan berlangsung dengan aman sama seperti berlangsungnya sebuah sidang media. – MalaysiaGazette