Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (dua kanan) menunjukkan OBDii Device keluaran Atliza Digital Sdn Bhd turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Atliza Digital Sdn Bhd, Mr. Gerard Lim (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Mr. Wong Heang Tuck (dua kiri) dan Pengasas Green Packet Berhad, Mr. CC Puan (kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian diantara Atliza Digital Sdn Bhd dan U Mobile Sdn Bhd di Hotel Marriot, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 JULAI 2017

PUTRAJAYA – Kadar kemalangan yang melibatkan terutamanya kenderaan komersial mungkin boleh dikurangkan dengan pemasangan Sistem Bantuan Pemandu Terkini (ADAS).

Menerusi sistem baharu tersebut, aktiviti dan gaya pemanduan pemandu boleh dipantau dan direkodkan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, kerajaan sedang mengkaji cadangan yang dibawa oleh Atilize Digital Sdn. Bhd. dan U Mobile Sdn. Bh. supaya inovasi terkini itu wajib dipasang pada setiap kenderaan komersial bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

” Kerjasama di antara Alitize dan U Mobile adalah tepat pada masanya iaitu ketika negara sedang berusaha untuk mengatasi masalah kemalangan jalanraya yang semakin meningkat.

“Kedua-dua syarikat ini membuka satu lagi jalan dengan inovasi terbaharu dan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memasang ADAS pada setiap kenderaan komersial supaya sikap pemandu boleh diperbaiki dan seterusnya mengurangkan kemalangan jiwa,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian di antara kedua-dua syarikat berkenaan di sini hari ini.

Teknologi terbaharu itu merangkumi pelbagai perisian terkini hasil tangan anak-anak tempatan.

Meskipun bukan negara pertama yang mencipta teknologi sedemikian namun bukti -bukti telah menunjukkan kadar kemalangan jalan raya berjaya dikurangkan kepada 80 peratus dengan pemasangan ADAS pada kenderaan.

Antara negara yang menggunakan sistem itu adalah Singapura dan Korea.

Dalam pada itu, perjanjian di antara Atilize dan U Mobile melibatkan kerjasama yang mana U Mobile akan menyediakan perhubungan 3G dan 4G LTE kepada peranti-peranti yang dikeluarkan oleh Atilize.

Ini termasuk ADAS, wifi di dalam kereta, infotainment di dalam kereta, e-dagang dan kereta serta penggunaan bersandarkan insurans (UBI).

Kesemua aplikasi ini akan mengoptimakan kepuasan pelanggan, meningkatkan keselamatan dan keselesaan semasa pemanduan. -MalaysiaGazette