KUALA LUMPUR – Baru-baru ini Pas Permatang Pauh melakukan baiah tidak akan menyokong calon Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

Ikrar itu menunjukkan bakal berlakunya pengurangan undi PH di kubu kuat PKR.

Permatang Pauh merupakan kawasan Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih di dalam UMNO.

Walaupun dipenjara, ia masih menjadi kerusi selamat walaupun calonnya ialah isteri beliau, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Selama ini, kemenangan besar Anwar dan Wan Azizah datangnya daripada sokongan ahli-ahli Pas yang dahulu bersama mereka dalam Pakatan Rakyat.

Baiah dengan menyebut nama Allah dan Nabi Muhammad SAW itu pasti membuatkan Wan Azizah ‘kepanasan’ kerana ia membuatkan simpati orang Pas kepadanya akan terhalang.

Dicampur dengan peningkatan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) ia juga menjadikan wap panas semakin menyelubungi Ketua Pembangkang.

Dengar pula sudah ada rungutan Wan Azizah semakin ‘melupakan’ Permatang Pauh memandangkan beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang di Selangor.

Permatang Pauh ternyata bukan lagi zon selesa untuk Kak Wan dan kipas lipasnya tidak mampu ‘menghilangkan’ kepanasan yang ada.

Senario itu sebenarnya sepatutnya memberi kebimbangan kepada PH di Selangor menjelang PRU-14.

Sekiranya berlaku baiah seperti di Permatang Pauh sudah pasti Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga akan ‘kepanasan’.

Gandingan PKR-DAP-Pas dalam kerajaan negeri sekarang hanya menunggu PRU-14 dan selepas itu Pas pasti tidak menyokong PH dan PH sudah pasti ‘berkerat rotan’ dengan Pas.

Tindakan Pas itu salah strategi awal meraih sokongan ahli-ahlinya yang dahulu bekerja keras memenangkan Anwar dan Wan Azizah dan kini bakal memenangkan calon Pas.

Tidak mustahil sekiranya Pas tidak meletakkan calon, sokongan itu akan beralih kepada calon BN.

Dengar kata, baiah yang sama akan dilakukan di kawasan lain mungkin di Gombak atau Pagoh.- MalaysiaGazette