Ketua UMNO Cawangan Batu 7, Hulu Klang, Mohammad Nazlee Aziz Yeop bercakap pada sidang akhbar berkenaan tindakan merobohkan deretan kedai kayu di persimpangan jalan masuk ke Ukay Height. foto SAFWAN MANSOR, 19 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – “Kami tidak akan berganjak dan akan pertahankan dewan ini daripada diroboh!”

Itu tegas Ketua UMNO Cawangan Batu 7, Hulu Kelang, Mohd. Nazlee Tan Sri Sir Aziz Yeop yang kini berdepan ancaman lot dewan dan kedai yang bakal dirobohkan di Ukay Perdana.

Sebuah dewan kecil dan hampir 37 lot kedai di tepi jalan masuk ke Ukay Perdana yang berusia lebih 20 tahun akan dirobohkan selepas Pejabat Tanah Gombak (PTG) menghantar notis terakhir untuk mengosongkan kawasan tersebut sebelum 31 Julai ini.

Dewan kecil yang menjadi pusat gerakan jentera UMNO di kawasan tersebut juga akan turut dirobohkan.

Sebahagian deretan kedai kayu yang hendak dirobohkan bagi memberi laluan masuk bagi projek pelebaran jalan utama di persimpangan jalan masuk ke Ukay Height. foto SAFWAN MANSOR, 19 JULAI 2017

Bagaimanapun Mohd. Nazlee bertegas mereka tidak akan tunduk kepada arahan yang diberikan walaupun dijanjikan pampasan dan tempat pemindahan.

“Saya akan lawan, tidak ada kompromi dalam isu ini. Kami ada bukti penempatan disini mendapat kebenaran, kami ada dokumen yang menunjukkan kebenaran untuk kami terus berada disini.

“Jangan usik dewan ini, kami sedia ke mahkamah untuk melawan PTG dan juga kerajaan negeri Selangor daripada terus merobohkan kawasan ini,” kata beliau semasa sidang media di Ukay Perdana petang tadi.

Ketua UMNO Cawangan Batu 7, Hulu Klang, Mohammad Nazlee Aziz Yeop menunjukkan surat kebenaran pendudukan sementara dari Pejabat Daerah/Tanah Gombak pada sidang akhbar berkenaan tindakan merobohkan deretan kedai kayu di persimpangan jalan masuk ke Ukay Height. foto SAFWAN MANSOR, 19 JULAI 2017

Dalam pada itu, wakil peguam kumpulan tersebut, Kamarudin Ahmad pula berkata ,walaupun kerajaan negeri Selangor sudah berjanji untuk memberi pampasan kepada pemilik kedai lain dan menyediakan tempat pemindahan tetapi sehingga hari ini PTG tidak mengeluarkan kenyataan rasmi

Justeru, ia menimbulkan tanda-tanya sama ada janji tersebut akan ditunaikan atau pun tidak.

“Kami difahamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib sudah adakan perjumpaan dengan PTG.

“Kami juga difahamkan semasa majlis hari raya baru-baru in, Saari beri satu pengakuan untuk usahakan tempat pemindahan dan beri pampasan kepada peniaga.

“Tapi ini hanya datang daripada Saari, tapi PTG sehingga hari ini tidak mengeluarkan sebarang pengesahan atau pun memaklumkan kepada kami tentang janji tersebut,” kata Kamarudin.

Peguam, Kamarudin Ahmad yang mewakili Gabungan NGO-NGO 1 Malaysia (GN1M) dan UMNO Cawangan Batu 7, Hulu Klang bercakap pada sidang akhbar berkenaan tindakan merobohkan deretan kedai kayu di persimpangan jalan masuk ke Ukay Height. foto SAFWAN MANSOR, 19 JULAI 2017

Menurutnya, selagi tidak ada pengesahan daripada janji tersebut, peniaga dan pemilik kedai disini sangsi dan bimbang sekiranya janji tersebut tidak ditepati.

“Kami tidak mahu peniaga menjadi mangsa serang hendap tiba-tiba jika PTG tidak membuat pengesahan berhubung janji dibuat oleh Saari,” katanya lagi.

Kerajaan negeri Selangor dan PTG memberi alasan arahan perobohan tersebut bertujuan untuk membangunkan kawasan tersebut dan membesarkan jalan raya kerana masalah kesesakan yang dialami.

Bagaimanapun, Mohd. Nazlee mendakwa dalam pelan pembangunan Lebuhraya Lingkaran Luar-Hubungan Timur (EKVE), terdapat lima lot kedai di simpang jalan tersebut tidak terlibat dan mempertikaikan langkah PTG untuk terus merobohkan kawasan tersebut.

“Daripada pelan lebuh raya itu, terdapat lima lot kedai termasuk dewan ini yang tidak kena tapi kini mereka mahu terus merobohkan juga lima lot ini termasuk dewan saya ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.