Pengarah Urusan Mutiara Gemilang Engineering Sdn Bhd, Datuk Ida Suraya Mustapha bercakap kepada media selepas selesai sebutan kes saman ke atas Universiti Teknologi Mara (UITM) berjumlah RM40.8 Juta oleh ahli perniagaan kerana membuat pembayaran kontrak ke atas akaun individu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI,19 JULAI 2017

SHAH ALAM – Ahli perniagaan, Datuk Ida Suraya Mustapha menyifatkan saman yang difailkan syarikatnya ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menuntut keadilan dan hak yang termaktub dalam perjanjian kontrak antara dua pihak sebelum ini.

Beliau yang merupakan Pengarah Urusan, Mutiara Gemilang Engineering Sdn. Bhd. berkata, saman itu bagi mencari kebenaran bagaimana sebuah institusi pengajian tinggi awam dan badan korporat boleh membayar RM11 juta ke dalam akaun peribadi seorang individu.

Biarpun menyedari UiTM gedung yang telah melahirkan ramai bilangan profesional Melayu dan namanya cukup disegani dalam bidang pendidikan, beliau menjelaskan telah berfikir panjang sebelum menfailkan saman itu pada 20 April lalu.

“Saya hanya mengharapkan UiTM mematuhi terma kontrak yang telah dipersetujui bersama. Oleh kerana kontrak tersebut adalah perjanjian antara syarikat saya dan UiTM, undang-undang sivil akan memelihara pihak yang dianiayai di bawah Akta Kontrak.

“Bagi saya, salah tetap salah dan apa yang terjadi tidak adil buat saya selama ini. Masyarakat tidak tahu impak yang saya terima hingga saya dianggap dengan pelbagai tuduhan dan dipandang negatif.

“Sudah lama saya menderita walaupun saya kelihatan ceria sepanjang masa. Ramai tidak kisah yang berlaku di belakang kes dan saya percaya, kebenaran akan terbukti satu hari nanti,” katanya.

Beliau ditemui di Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini hari ini selepas sebutan pengurusan kes di hadapam Penolong Kanan Pendaftar, Wan Azira Wan Khairilanwar.

Pengarah Urusan Mutiara Gemilang Engineering Sdn Bhd, Datuk Ida Suraya Mustapha (kanan) berbincang sesuatu dengan Peguam, Ismail Mohamed Arifin (kiri) selepas selesai sebutan kes saman ke atas Universiti Teknologi Mara (UITM) berjumlah RM40.8 Juta oleh ahli perniagaan kerana membuat pembayaran kontrak ke atas akaun individu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI,19 JULAI 2017

Sementara itu, peguam syarikat, Ismail Mohamed Arifin menyatakan bahawa saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi atas dasar satu isu kemungkiran kontrak tersebut.

Jelas beliau, dalam jawapan balas UiTM hari ini, institusi pengajian tinggi menfailkan pembatalan tuntutan yang dibuat oleh Mutiara Engineering itu dengan asas tuntutan kerana Mahkamah Syariah.

Ismail menyifatkan asas tuntutan itu ‘menakjubkan dan tidak munasabah’.

Pada 20 April lalu, UiTM telah menerima saman berjumlah RM40.8 juta yang difailkan oleh Mutiara Gemilang Engineering di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Menerusi tuntutan saman itu, Mutiara Gemilang Engineering dan UiTM telah membuat perjanjian projek membekal, menghantar, memasang, mengujiguna dan mentauliahkan keseluruhan mesin dan peralatan bagi semua kurus di Kampus Baru UiTM Puncak Alam, Selangor.

Perjanjian itu melalui Surat Setuju Terima Tawaran pada 9 Disember 2010 dengan nilai kontrak RM134.5 juta.

Berdasarkan terma-terma perjanjian projek tersebut, selepas kerja-kerja siap, prosedur pembayaran secara berperingkat perlu dibuat kepada plaintif iaitu Mutiara Gemilang Engineering Sdn. Bhd..

Namun UiTM selaku defendan telah dengan salah, defektif, tidak sah dan melanggarkan undang-undang kerana membuat satu pembayaran berjumlah RM11 juta kepada seorang individu yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

Pembayaran yang salah itu telah mengakibatkan kemudaratan kewangan yang teruk dan serius kepada plaintif yang telah menanggung kerugian amat tinggi kerana terpaksa mencari sumber-sumber kewangan lain dengan membuat pinjaman daripada pihak-pihak ketiga dan akhirnya menjatuhkan bajet kewangan.

Syarikat tersebut mendakwa menanggung kerugian kira-kira RM40.8 juta kerana pelanggaran kontrak. – MalaysiaGazette