KUALA LUMPUR – Bank Pembangunan Asia (ADB) menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia bagi tahun 2017 kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus sebelumnya.

Dalam sisipan Unjuran Pembangunan Asia 2017 yang dikeluarkan hari ini, ADB berkata, ekonomi Malaysia mengatasi jangkaan awal yang mana suku pertama telah berkembang sebanyak 5.6 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh dia tahun disokong terutamanya oleh permintaan domestik.

Tambahnya, pelaburan tetap mengetuai senarai dengan merekodkan pertumbuhan dua angka sekali gus memacu pelaburan yang lebih besar dalam sektor perkhidmatan dan pengilangan selain terdapat peningkatan dalam pelaburan kerajaan.

ADB berkata, penggunaan swasta melonjak dipacu oleh peningkatan pendapatan, pertambahan peluang pekerjaan serta subsidi kepada isi rumah berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, ADB berkata, perbelanjaan isi rumah dijangka kekal sihat namun akan mengalami tekanan menurun daripada peningkatan inflasi dan kos perkhidmatan dari hutang isi rumah.

ADB juga menaik taraf unjuran bagi Asia kepada 5.9 peratus berbanding 5.7 peratus bagi 2017 manakala bagi 2018, unjuran dijangka meningkat kepada 5.8 peratus kepada 5.7 peratus. – MalaysiaGazette