Drama bersiri Banteras adalah hasil kerjasama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Fantasy Films Sd. Bhd. yang memaparkan usaha cekal pegawai SPRM dalam menyelesaikan kes rasuah.

CYBERJAYA – Penyebaran mesej antirasuah termasuk menerusi drama di televisyen perlu diteruskan sebagai agenda tetap ke arah memupuk kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai bahaya gejala itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak, berkata amalan rasuah harus dijauhi bermula dari usia muda lagi, sekali gus memastikan pembentukan akhlak, hati dan minda yang bersih.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran drama bersiri Banteras di sini hari ini, khusus untuk menyedarkan dan mendidik masyarakat mengenai bahaya amalan itu.

“Drama ini menekankan pembanterasan rasuah sebagai agenda tetap dan tidak mahu melihat rasuah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat manakala penceritaannya mengisahkan kecekalan pegawai SPRM dalam menangani rasuah, sekali gus menjadi wadah terbaik untuk menyampaikan mesej ini secara berkesan kepada masyarakat.

“Pihak kementerian mengalu-alukan drama seperti ini dan ia adalah selaras dengan gerak kerja SPRM ketika ini, yang cergas dalam menyebar luas kesedaran terhadap kepentingan membanteras rasuah,” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Fantasy Films Sdn. Bhd. (Fantasy Films), Adillah Abu Samah.

Drama berkenaan adalah hasil kerjasama antara SPRM dan Fantasy Films yang memaparkan usaha cekal pegawai SPRM dalam menyelesaikan kes rasuah.

Penggambaran drama 13 siri mengambil masa tiga bulan itu akan bermula September ini di bawah arahan Ghaz Abu Bakar dengan dibintangi pelakon seperti Sangeeta Krishnasamy, Namron dan Khir Rahman, yang akan disiarkan menerusi saluran televisyen tempatan.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, SPRM percaya drama terbabit mampu menyampaikan mesej pencegahan rasuah yang jelas kepada masyarakat, sekali gus memberi gambaran lebih tepat berkaitan suruhanjaya itu.

Katanya, langkah itu menjadi satu lagi usaha SPRM selepas pelancaran Gerakan Anti Rasuah (GERAH) yang dilaksanakan sebelum ini dan banyak lagi kegiatan dirancang selepas ini. – MalaysiaGazette