Fotografi bersama penyanyi, Maisarah Ukelele,16 di Studio Malaysia Gazette, Sungai Besi. foto FAREEZ FADZIL, 12 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Waktu mula berlalu pantas buat dirinya. Hampir dua tahun dia telah berada dalam dunia seni merakamkan dua single berkonsep pop berjudul Tak Mungkin Sendiri ciptaan Royce Sayan pada September 2015 dan Prasetia oleh Hazami, Februari lalu.

Bagi Maisaraha Ukelele, 16, bergelar artis rakaman pada usia muda merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan buat dirinya.

Namun mungkin ramai yang tertanya-tanya sejauh mana dia mampu melangkah dalam bidang yang penuh persaingan ini.

Dengan kehadiran ramai artis baru di persada seni ketika ini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur ini yakin dan positif bahawa masih ada ruang untuk dia menapak dan mencatat nama sebagai artis popular.

“Jika saya berusaha lebih, peluang akan datang juga akhirnya. Bagi saya, rezeki dan tuah seorang itu hanya masa menentukan.

“Namun sebagai artis baharu, saya harap lebih dikenali pada masa akan datang apatah lagi akan muncul dengan single ketiga tidak lama lagi,” jelas anak bongsu daripada dua beradik ini.

Fotografi bersama penyanyi, Maisarah Ukelele,16 di Studio Malaysia Gazette, Sungai Besi. foto FAREEZ FADZIL, 12 JULAI 2017

Dalam pada itu, selain menyanyi, Maisarah juga berkebolehan bermain ukulele dengan baik, sekali gus menyebabkan dia dikenali dengan nama Maisarah Ukulele.

Gadis bertubuh genit ini memberitahu, dia terlebih dahulu menceburi bidang tarian pada usia tiga tahun sebelum minat dalam nyanyian bercambah secara perlahan.

Jelasnya, alatan muzik ukulele itu pula mula dipelajarinya ketika berusia 13 tahun.

“Saya hanya belajar main ukulele menerusi YouTube dan tidak belajar secara formal daripada mana-mana individu.

“Pada masa sama, saya juga boleh bermain piano sahaja. Selepas ini, saya hendak belajar main gitar. Sebenarnya pada mulanya saya hendak bermula dengna gitar namun saiz gitar yang besar belum sesuai lagi dengan tubuh badan saya,” katanya tersenyum.

Maisarah yang kini mula kerap menerima jemputan persembahan sebagai artis jemputan sempat berkongsi cerita tentang single ketiganya yang berjudul Si Kacak.

Lebih menarik, dia mencipta sendiri lagu itu yang berkonsepkan rancak dengan tetap memasukkan elemen ukulele.

“Lagu ini sudah lama saya cipta dan liriknya hanyalah imaginasi saya tentang memiliki seorang teman lelaki yang kacak.

“Selepas single ini keluar barulah saya akan muncul dengan sebuah album pada Oktober ini,” katanya yang meminati penyanyi Mark Adam dan Elizabeth Tan.

Mengulas tentang status sebagai pelajar, Maisarah berterima kasih terhadap semua gurunya yang banyak memberi perangsang terhadap minatnya dalam bidang seni.

“Walaupun semakin banyak tawaran membuat persembahan, saya tidak akan mengabaikan pelajaran.

“Apa yang saya lalui ketika ini pada usia yang masih muda memberikan pendedahan dan pengalaman berguna buat saya untuk menjadi anak seni yang matang,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin mengetahui aktiviti seni Maisarah boleh melayari laman sosial Instagramnya iaitu Maisarah Ukelele yang kini mempunyai 23,000 pengikut.

Antara aktiviti seninya, dia pernah membuat penampilan khas di Hard Rock Café Kuala Lumpur baru-baru untuk mini showcase Ben Nathan dan Sahara Yaacob. – MalaysiaGazette