Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kedegilan DAP untuk terus mempersoalkan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dikecam Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyifatkan parti pembangkang itu sebagai keras kepala.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mempersoalkan apa hak DAP untuk mempertikaikan arahan ROS dan mereka sewajarnya mematuhi undang-undang yang ditetapkan badan pendaftar tersebut.

“DAP tidak boleh mengatasi undang-undang dan mesti akur dengan arahan daripada ROS. Sebelum ini, UMNO juga akur dengan keputusan mahkamah dan ROS sehingga kita terpaksa buka UMNO baharu.

“Itu menunjukkan bahawa UMNO akur kepada undang-undang dan peraturan. Siapa DAP yang tidak mahu akur? Kalau mereka terus ingkar ROS perlu bertegas dengan tindakan seterusnya berlandaskan undang-undang,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Pejabat Daerah dan Tanah Bera, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga menafikan dakwaan DAP mengatakan kerajaan campur tangan dalam keputusan diputuskan ROS itu.

Katanya, sekiranya tindakan yang dibuat ROS berlandaskan kepada faktor tertentu seperti berlandaskan berita palsu DAP berhak untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

“Jadi tuduhan yang mengatakan tindakan ROS adalah campur tangan kerajaan tidak betul sebab kalau kita boleh campur tangan tidak mungkin Umno boleh diharamkan sebab kita parti yang memerintah,” kata beliau. – MalaysiaGazette