KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menegaskan tiada konspirasi atau agenda peribadi dalam menjalankan proses siasatan dalaman yang melibatkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad serta tiga lagi pegawai kanan syarikat tersebut.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, FGV  berkata, Zakaria Arshad bersama tiga lagi kakitangan pengurusan kanan untuk bercuti dengan bergaji penuh dan menerima semua kemudahan.

“Siasatan dalaman hanya fokus kepada isu hutang Safitex seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 19 Jun 2017, terdapat beberapa bukti asas yang membolehkan Lembaga FGV mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan dua lagi pegawai kanan yang berkaitan dengan pelanggaran prosedur dalaman.

“Tuduhan menyatakan bahawa Lembaga Pengarah mempunyai agenda peribadi untuk menjatuhkan pengurusan kanan adalah tidak wajar.

“Jika tuduhan-tuduhan ini berterusan, ia dikhuatiri boleh menyebabkan focus FGV tergendala dari usahanya menambahbaikan operasi teras menjana nilai tambah dan melaksanakan tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah kepada pemegang saham,” katanya.

Tambah FGV, sebagai sebuah syarikat senaraian awam dan juga syarikat berkaitan kerajaan yang termaktub dengan undang-undang yang berkaitan oleh badan kawal selia seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia, FGV sama sekali tidak terlibat dengan mana-mana konspirasi atau agenda peribadi dalam menjalankan proses siasatan dalaman tersebut.

Siasatan dalaman ini dianggap tanggungjawab fidusiari Lembaga Pengarah dalam menjalankan tanggungjawab prihatin dalam pengurusan sebuah syarikat penyenaraian awam dan juga kepentingan pemegang saham, katanya.

Siasatan dalaman bermula Isnin ini sehingga 18 Ogos ini.-MalaysiaGazette