Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) beramah mesra bersama sebahagian ahli-ahli NGO yang hadir pada Majlis Makan Malam Solidariti Bersama YAB Perdana Menteri Anjuran Persatuan Amalan Minda Cergas Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 25 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Semua pihak tidak sepatutnya membawa bibit-bibit perpecahan dalam masyarakat di negara ini, lebih-lebih lagi apabila Malaysia bakal menyambut kemerdekaannya kali ke-60 pada 31 Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sewajarnya di usia sebegini, rakyat perlu menunjukkan kepada dunia tahap perpaduan yang semakin kukuh dan tidak tergugat dengan ancaman mana-mana pihak.

“Kalau kita bekerjasama dan bermaufakat dalam ikatan kekeluargaan atas nama rakyat Malaysia, tiada ancaman dan cabaran yang tak boleh diatasi rakyat Malaysia.

“Rakyat tak suka keadaan tak menentu, tidak stabil dan negara dipecahbelahkan. Ini merugikan kita, kerajaan hari ini adalah yang peduli kepada semua rakyat,” katanya pada Majlis Makan Malam Solidariti Bersama Perdana Menteri di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Pengakap Malaysia, Datuk Ismail Ramli dan Pengasas Persatuan Amalan MInda Cergas Malaysia (AMC), Michael Tan Yam Hock.

Najib juga berkata, Malaysia bakal menjadi sebuah negara makmur dan disanjungi masyarakat di peringkat antarbangsa sekiranya badan bukan kerajaan (NGO) terus memberi sokongan kepada kerajaan pada hari ini.

“Saya berazam nak bawa negara ke tahap kejayaan lebih besar, untuk capai hasrat tersebut, saya perlu sokongan dan dokongan NGO,” jelasnya.

Katanya, semakin maju sesebuah negara semakin besar peranan NGO dalam usaha menyatupadukan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Jelasnya, hanya NGO berupaya memasuki pelbagai bidang yang dekat dengan hati rakyat khususnya sewaktu mereka ditimpa musibah dan kecelakaan.

“Melalui NGO kita dapat penuhi apa yang dekat dengan hati kita, mungkin kita minat bidang tertentu, tapi mereka ini bernaung di bawah satu payung yang boleh menyatukan kita bawah satu bumbung,” ulasnya.

Beliau berkata lagi, sumbangan kepada masyarakat tidak seharusnya bermusim dan ia perlu dilakukan sepanjang masa.

“Sumbangan kepada masyarkat bukan waktu musibah saja, tapi waktu lain juga, sumbangan itu perlu kembali kepada masyarakat dan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.