KUALA LUMPUR – Langkah yang dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak Disember lepas bagi menyokong ringgit terbukti berjaya, kata Gabenor Datuk Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata ini termasuk dapat mengurangkan sehingga separuh kadar ketidaktentuan bulanan selain memulihkan tukaran asing dalam negeri kepada paras purata harian yang lebih stabil sebanyak US$10 bilion iaitu peningkatan sebanyak 1.25 kali berbanding tempoh sebelum pelaksanaan langkah itu.

“Tujuh bulan lepas, kita mengambil langkah pragmatik dan pantas dengan melaksanakan pendekatan membabitkan perkembangan tukaran asing bagi tujuan menstabilkannya.

“”Saya amat gembira untuk menyatakan bahawa langkah-langkah ini terbukti berjaya,” katanya ketika berucap di persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2017 di sini, hari ini.

Persidangan dua hari yang berakhir esok, merupakan acara tahunan utama yang mengetengahkan kepelbagaian dan kekukuhan pasaran modal Malaysia.

Jelas Muhammad, antara langkah itu termasuk menetapkan supaya pengeksport menyimpan sehingga 25 peratus hasil perolehan eksport mereka dalam mata wang asing bagi menangani usaha mengimbangi penawaran dan permintaan terhadap ringgit.

“Ideanya adalah bagi memastikan penawaran dan permintaan ringgit itu dapat dijajarkan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga sentiasa terbuka, mesra serta adil kepada pelabur asing yang merupakan rakan utama dalam pertumbuhan ekonomi negara ini.

“Pelabur asing telah memberi sumbangan penting terhadap pertumbuhan sektor pembuatan Malaysia, mewujudkan peluang pekerjaan serta hab-hab ekonomi,” katanya.

Muhammad berkata, pelaburan asing di negara in turut menghasilkan pulangan signifikan untuk pelabur iaitu pada purata 13 peratus – antara tertinggi di Malaysia dan lebih tinggi berbanding pertumbuhan nominal keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 7.7 peratus.

“Jelas sekali, Malaysia menjadi pusat (menjana) keuntungan serantau apabila pelaburan itu dilindungi serta beroperasi dalam persekitaran yang kondusif,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia juga tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap pemindahan keluar keuntungan yang membolehkan pelabur mengalihkannya secara bebas, termasuk ketika waktu-waktu sukar.

Muhammad berkata prospek pertumbuhan jangka panjang Malaysia juga kekal memberangsangkan dan diperkukuhkan oleh kewujudan faktor semula jadi seperti aliran domestik semasa dan dasar, pertimbangan dan tindakan.

“Kalangan pembuat dasar Malaysia terbukti terus menyokong pertumbuhan ini dengan menghapuskan sekatan berstruktur dan menggalakkan persekitaran bagi pengembangan kawasan pertumbuhan baharu,” katanya.

Malah, kata beliau, Malaysia terbukti mencatat perubahan ketara sejak 60 tahun lepas dan mengalu-alukan kehadiran perniagaan dengan menyediakan peluang bagi meraih keuntungan.

“Dasar kita adalah pragmatik dan tangkas bagi melindungi kepentingan semua. Kerajaan akan sentiasa menyambut baik (usaha) untuk menjalin kerjasama memanfaatkan dengan mana-mana pihak yang mahu menjalankan perniagaan di negara ini,” katanya.

— BERNAMA