KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat yang bersidang sekarang perlu membawa usul khas mengutuk keras pencabulan rejim zionis di Masjid Al-Aqsa.

Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin berkata, sidang khas Parlimen juga mengutuk tindakan zionis yang biadap, bertindak melampaui hak asasi manusia dan ketamadunan.

“Teman (saya) mendesak masyarakat antarabangsa memaksa Majlis Keselamatan dan PBB untuk menguatkuasakan Resolusi yg mengiktiraf Palestin dan menyerahkan bumi Palestin termasuk Al-Quds kpd rakyat Palestin.

“Teman juga mendesak Majlis Keselamatan dan PBB memberi mandat kpd penubuhan Pasukan Pengaman Antarabangsa diketuai oleh Pasukan Pengaman Malaysia dan Turki untuk memasuki bumi Palestin termasuk Al-Quds bagi memastikan pematuhan resolusi dan menjaga keselamatan dan keamanan rakyat Palestin,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli, sekiranya Majlis Keselamatan dan PBB gagal melaksanakannya dalam tempoh tujuh hari, Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) perlu menubuhkan Pasukan Pengaman dibawah panji-panji OIC diketuai oleh Malaysia dan Turki untuk menguatkuasakan resolusi PBB dan menjaga keselamatan dan keamanan rakyat Palestin.

Beliau juga meminta umat Islam seluruh dunia terutama yang berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi mengadakan solat hajat berserta qunut nazilah setiap hari sehingga bumi Palestin dibebaskan dan Al-Aqsa dikembalikan kepada umat Islam.- MalaysiaGazette