Johari Abdul Ghani

PUTRAJAYA – Projek Bandar Malaysia bakal menjadi ‘game changer’ dalam kalangan pelabur dalam usaha membangunkan Kuala Lumpur pada masa akan datang.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, faktor itu dibuktikan oleh bidaan sembilan syarikat yang tersenarai sebagai Fortune 500 terhadap projek tersebut.

Jelas beliau, pembidaan itu menunjukkan kepercayaan tinggi syarikat gergasi tersebut terhadap nilai dan impak projek berkenaan.

“Syarikat itu sedar dengan kepentingan projek Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang akan dijangka siap pada 2026.

“Secara tidak langsung, projek Bandar Malaysia dilihat penting untuk masa depan mereka. Jika mereka tidak percaya HSR baik kepada negara, mereka tidak akan buat pembangunan di situ.

“Ini menguatkan hujah kerajaan bahawa Bandar Malaysia adalah tempat yang akan menjadi salah satu ‘game changer’ untuk Kuala Lumpur terus membangun, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018: Menggiatkan Malaysia Sebagai Hab Logistik di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan tujuh syarikat China dan dua syarikat Jepun membida projek Bandar Malaysia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir mempengerusikan Mesyuarat Budget 2018 Focus Group Meeting : Revitalising Malaysia as a Logistics Hub di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 26 JULAI 2017

Dalam pada itu itu, Johari berkata, Malaysia akan mengekalkan sasaran unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) empat hingga lima peratus pada tahun ini di sebalik peningkatan sasaran unjuran oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) daripada 4.5 kepada 4.8 peratus.

“Bukan mudah untuk kita membuat semakan semula sasaran itu kerana ekonomi dunia ini dinamik.

“Kita akan lihat prestasi bagi suku kedua dan ketiga nanti kerana julat sasaran kita agak besar,” katanya. – MalaysiaGazette