Lim Guan Eng

PULAU PINANG – Kerajaan DAP Pulau Pinang bersetuju menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) hasil inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi rasuah tetapi dengan tambahan 10 kriteria lain yang ditetapkan kerajaan negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, ikrar itu yang diberi nama IBR 10 Plus(+) akan ditandatangani semua kakitangan kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen negeri ini.

Sehubungan itu, beliau menjemput Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menghadiri majlis menandatangani IBR 10 Plus(+) tersebut yang akan diadakan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) Jumaat ini.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, antara 10 kriteria yang akan dimasukkan kerajaan negeri bersama IBR itu adalah pelaksanaan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang menjadi prinsip kerajaan negeri selama ini.

Turut dimasukkan, katanya, pelaksanaan pemberian tender secara terbuka; pengisytiharan aset oleh anggota kerajaan negeri dan tiada ahli keluarga anggota kerajaan negeri yang dibenarkan menjalankan urusan perniagaan atau menerima kontrak daripada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengulangi penegasan bahawa pihaknya tidak tahu perlu menghubungi SPRM untuk menandatangani IBR tersebut, dan bukannya dihubungi suruhanjaya berkenaan seperti kebiasaan yang berlaku dalam hubungan antara kerajaan negeri dan agensi kerajaan.

“Kenapa SPRM tidak memaklumkan kepada kita sama ada menerusi emel atau panggilan telefon tanpa sebarang paksaan, yang mana kami boleh memilih atau tidak untuk mengambil bahagian dalam menandatangani IBR yang `sukarela’ ini?” katanya. – MalaysiaGazette