Ruhanie Ahmad
Ruhanie Ahmad

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan rasuah serta salah guna kuasa dalam syarikat 1MDB.

Naib Presidennya, Datuk Ruhanie Ahmad berkata, langkah itu bagi mengelak tanggapan umum bahawa kerajaan mengamalkan pilih kasih dalam menangani sesuatu isu dalam negara.

Menurut Ruhanie, langkah tersebut juga perlu dibuat sebelum kerajaan menubuhkan unit integriti di syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) serta syarikat milik kementerian dan kerajaan negeri bagi mengelak unit tersebut digunakan sebagai alat propaganda politik semata-mata.

“Perkasa Malaysia mendesak pemerintah supaya segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (SSD) bagi menyiasat dakwaan rasuah dan salahguna kuasa dalam IMDB milik Kementerian Kewangan.

“Perkasa yakin pemerintah mempunyai iltizam yang kuat untuk menubuhkan SSD 1MDB, kerana pemerintah telah membuktikan iltizam yang sama untuk menubuhkan SSD mengenai Forex.

“Sikap pemerintah yang dingin mengenai 1MDB hanya memperagakan pendirian ‘double-standard’ dalam menangani sesuatu isu keselamatan ekonomi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ruhanie, sekiranya kerajaan serius untuk mengembalikan semula keyakinan semua pihak, termaasuk pelabur asing mahupun rakyat sendiri, penubuhan RCI 1MDB merupakan jalan terbaik.

“Jika pemerintah mahukan semua pihak bertindak untuk mengukuhkan keyakinanan mereka terhadap Malaysia, penubuhan SSD 1MBD adalah satu-satunya strategi yang berkesan.” -MalaysiaGazette