Petronas

CALGARY – Petronas tidak akan meneruskan cadangan projek gas asli cecair (LNG) yang bernilai sebanyak C$36 bilion (AS$29 bilion) di Kanada kerana harga global lemah.

Keputusan itu dilihat mengekang hasrat Kanada untuk menjadi pemain LNG global.

Walaupun keputusan Petronas satu tamparan kepada ekonomi serantau, pemerhati industri berkata, keputusan itu sudah dijangkakan berikutan penangguhan bertahun-tahun untuk melaksanakan projek besar berhampiran Prince Rupert di utara wilayah British Columbia.

Ia juga merupakan pembatalan terbaru bagi industri tenaga negara itu selepas firma-firma minyak antarabangsa menjual kira-kira AS$23 bilion dalam aset tenaga Kanada pada tahun ini sahaja.

Projek Pacific NorthWest LNG bertujuan untuk menghasilkan 12 mega tan setahun dan merangsang pembangunan gas semula jadi Montney British Columbia di timur laut wilayah itu, medan syal terbesar di Kanada.

“Kami mempunyai peluang untuk membangunkan industri LNG British Columbia (BC) tetapi, beberapa tahun akan datang akan menjadi lebih kritikal.

“Kami berisiko kehilangan ribuan pekerjaan dan berbilion dolar jika BC tidak mempunyai akses ke pasaran yang pelbagai,” kata Gillian Robinson, jurucakap Perikatan LNG BC.

Pasifik NorthWest LNG telah menerima kelulusan daripada kerajaan Kanada tahun lepas, tetapi Petronas, yang telah melaksanakan pemotongan kos yang signifikan, menunda keputusan pelaburan tersebut.

Jika projek itu direalisasikan, ia akan menjadi pelaburan asing terbesar Petronas dan dilihat sebagai kejayaan dalam sektor tenaga Malaysia.

Pelaburan sebanyak C$36 bilion itu termasuk sejumlah C$11 bilion untuk terminal eksport, C$6.5 bilion bagi talian paip dan C$ 5.5 bilion dibayar kepada Progress Energy dan aset gas asli dan sekitar C$2 bilion setahun diunjur untuk dibelanjakan bagi menghasilkan gas asli.

Bagaimanapun, Petronas dan rakan kerjasamanya akan terus membangunkan aset-aset gas asli di Kanada, kata Pengerusi Pacific NorthWest LNG, Anuar Taib dalam kenyataannya.

“Kami berasa kecewa kerana persekitaran yang sangat mencabar yang disebabkan oleh harga rendah yang berpanjangan dan perubahan dalam industri tenaga telah mendorong kami kepada keputusan ini,” kata Anuar. – MalaysiaGazette