Foto Facebook Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR – Juara Liga Super 2016, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal mencipta sejarah dalam penjenamaan kelab itu di peringkat antarabangsa apabila bakal menerima penajaan syarikat minuman air tenaga terkemuka Thailand.

Syarikat Carabao Group Public Co. Ltd  yang merupakan antara penaja utama juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea dilaporkan sedia menaja JDT dan negeri Johor.

Perkara itu disampaikan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Facebook Johor Southern Tigers.

Tunku Ismail menyatakan keterujaannya apabila dimaklumkan bahawa pemilik syarikat itu, Pairoj Piempongsant yang menyedari potensi yang dimiliki oleh JDT.

“Saya begitu teruja apabila kelab kecil yang telah kita bina selama ini mencipta sejarah setiap hari dan juga semakin dikenali dunia serta ada ‘world top brand’ yang berkeinginan untuk menaja kita.

“Beliau (Piempongsant) akan datang ke Johor pada bulan Ogos ini untuk melihat pelan stadium baharu JDT dan juga pelan kelab bola sepak JDT. Beliau amat berminat untuk menaja JDT.

“Saya juga telah berjumpa dengan Menteri Luar Singapura Dr. Vivian Balakrishnan dan Pengerusi kelab Chelsea, Bruce Buck,” jelasnya.

Tunku Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada Bruce Buck dan Chelsea kerana menjemput menyaksikan perlawanan pra musim Chelsea bertemu Bayern Munich di Singapura semalam.

Pada perlawanan tersebut, Chelsea tewas 2-3 kepada juara Bundesliga itu. – MalaysiaGazette