Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Walaupun usul Rang Undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355) berada pada senarai ke-17, Pas masih optimis usul tersebut sempat dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, senarai baharu atas kertas perintah tersebut bukan alasan usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak sempat dibahas.

Menurutnya, situasi sama juga pernah dihadapi tapi ia masih diberi peluang oleh speaker untuk dibahas.

“Kalau dahulu pun sempat, kali ini pun sempat. Jangan keliru dengan ini (senarai). Semalam nombor 10, hari ini pula 17. Kita lihat banyak usul kerajaan yang ditambah. Sama ada nombor 10 atau 17 ia bukanlah masalah.

“Kita optimis Speaker Dewan Rakyat akan memberi kebenaran untuk RUU ini dibahaskan,” kata beliau semasa di sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Kelmarin, RUU persendirian itu muncul dalam kertas perintah Dewan Rakyat, tiga bulan selepas ia dibentang di Parlimen dan diletakkan dalam senarai ke-10.

RUU itu diletakkan di bawah beberapa rang undang-undang kerajaan lain yang selalunya diberi keutamaan berbanding rang undang-undang persendirian.

RUU itu bagaimanapun, boleh disegerakan jika satu usul dikemukakan dan dilulus oleh Parlimen.

RUU355 yang dibentang oleh Presiden Pas, Abdul Hadi pada 6 April lalu bertujuan untuk memperkasakan kuasa mahkamah syariah.

Bagaimanapun, RUU 355 tidak didebat selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menundakan persidangan Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette