Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar
PUTRAJAYA – Pemimpin pembangkang diingatkan tidak mempolitikkan urusan agama khususnya mereka yang menunaikan ibadah haji melalui tajaan di bawah Program Khas Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Presiden Gerakan Akar Umni UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ia tidak perlu disensasikan kerana tajaan atau sumbangan tersebut biarlah dinilai oleh Allah.
“Saya fikir rakyat kali ini sejak zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, minda rakyat sudah berkembang, tak macam zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, minda dikongkong, tak boleh bersuara, semua takut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) waktu itu.
“Ada yang mengatakan tajaan haji 1MDB ini dapat Haji Robinhood, Allah saja tahu, kira serah pada Allah, haji mabrur, tidak mabrur ini urusan Allah, nak bagi sumbangan atau tidak terpulanglah,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mahathir sebelum ini yang mendakwa ibadah haji dilakukan jemaah menerusi tajaan yayasan itu tidak akan mendapat haji mabrur.
Bagaimanapun kritikan pembangkang itu bagaikan meludah ke langit apabila Kerajaan Selangor sendiri memberikan sumbangan wang tunai RM500 kepada setiap jemaah haji musim ini .
Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan Selangor itu dilihat meniru pendekatan Kerajaan Barisan Nasional yang memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sebelum ini dilabelkan pembangkang sebagai rasuah.
Mengulas lanjut, Zulkarnain juga menegaskan rakyat perlu menilai semula kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilihat tidak konsisten dalam polisi pemberian wang tunai.
“Sekarang ini pun saya nampak dia sendiri (Kerajaan Selangor) bagi RM500, rakyat fikir lah sendiri, rakyat boleh menilai Azmin.
“Sebagai contoh siapa Rafizi Ramli? Dia orang paling kanan dalam PKR pun membuat tuduhan adanya amalan rasuah, rakyat kena berfikir, mereka saja nak sensasikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.