Reaksi ceria Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (tengah) ketika tiba pada sidang media di Parlimen Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 27 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Malaysia sudah menyatakan pendirian dalam kemelut antara Arab Saudi dengan Qatar dengan menekankan kepentingan umat Islam wajar diutamakan bagi mengelak sebarang perpecahan yang lebih meruncing, kata Datuk Seri Hishammuddin
Hussein.

Menteri Pertahanan itu berkata, pendirian tersebut dinyatakan semasa lawatan baru-baru ini bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negara Teluk tersebut di mana perbincangan diadakan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Bahrain.

“Saya telah menyampaikan pendirian Malaysia bahawa walau apa jua yang terjadi, kepentingan dan kedaulatan negara akan tetap menjadi keutamaan.

“Ia juga menjadi tanggungjawab semua pihak, terutama umat Islam secara keseluruhannya untuk menjaga dan melindungi kedua-kedua kota suci Mekah dan Madinah,” kata beliau semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas Hishammuddin, kerajaan Malaysia menyokong penuh sebarang usaha ke arah rundingan damai bagi menyelesaikan kemelut antara kedua-dua negara tersebut.

“Kerajaan mengharapkan penyelesaian segera dan menyokong sebarang usaha damai bagi menyelesaikan konflik dalaman GCC (Majlis Kerjasama Teluk).

“Kerajaan Malaysia turut menggesa agar semua negara terlibat untuk memberi kerjasama penuh kepada Kuwait yang menjadi pengantara dalam menyelesaikan konflik ini,” kata Hishammuddin yang juga Menteri Tugas Khas.

Mengenai kesan yang bakal dihadapi Malaysia, Hishammuddin menegaskan kemelut tersebut tidak mengugat hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara terlibat.

“Buat ketika ini, konflik antara Qatar dengan negara-negara jiran seperti Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan UAE yang melanda sejak 5 Jun 2017 lalu tidak mengugat hubungan diplomatik yang telah terjalin antara negara-negara tersebut dengan kerajaan Malaysia,” katanya.

Selain itu, lawatan Yang Di-Pertuan Agong dan Najib ke beberapa negara GCC membuktikan hubungan antara Malaysia dengan negara-negara tersebut tidak terjejas, kata Hishammuddin.

“Keakraban serta hubungan baik yang terbentuk antara Malaysia dengan negara GCC ini telah wujud sekian lama dan hubungan ini tetap kukuh sehingga kini.

“Hubungan ini turut diperkasakan melalui hubungan perdagangan dan ekonomi serta jalinan rapat antara rakyat Malaysia dan negara-negara Timur Tengah,” ujarnya.

Pada bulan lalu, tujuh negara Arab termasuk Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yaman dan Bahrain, bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Kesemua negara berkenaan menuduh Qatar menyokong kumpulan Ikhwanul Muslimin dan beberapa kumpulan ekstremis lain. – MalaysiaGazette