Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Rafizi Ramli yang berdepan ancaman diisytihar bankrap jika gagal membayar tuntutan sebanyak RM300 ribu terpaksa meminta sumbangan daripda orang ramai untuk menjelaskan bayaran tertunggak yang melibatkan kes National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Naib Presiden PKR yang lantang itu membuat permintaan tersebut dalam video pendek yang dimuat naik dalam laman Facebooknya dengan meminta beliau menjelaskan tuntutan itu atau prosiding kebankrapan akan diambil.

“Beberapa minggu yang lalu, peguam saya menerima surat tuntutan meminta RM300,000 yang perlu dibayar. Jika tidak, mereka mengancam untuk memulakan prosiding kebankrapan terhadap saya.

“Sebenarnya kes ini sedang melalui rayuan di Mahkamah Rayuan yang ditetapkan dalam bulan Oktober 2017.

“Walau bagaimana pun, undang-undang menetapkan saya perlu membayar dahulu kalau pun saya mungkin menang di peringkat rayuan,” katanya.

Terdahulu, saman itu difailkan selepas Rafizi mendakwa pengerusi NFC, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail membeli lapan hartanah di KL Eco-City dengan dana awam.

Pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Rafizi bersalah dan memerintahkan Ahli Parlimen Pandan itu membayar RM150,000 kepada Salleh dan RM50,000 kepada NFC serta kos sebanyak RM100,000.

Menurut bekas Setiausaha Agung PKR itu, beliau sebenarnya tidak selesa memohon bantuan orang ramai.

“Ini kerana saya tidak dibesarkan untuk bergantung harap kepada orang lain.

“Masalahnya semua simpanan saya sudah dibelanjakan untuk memulakan INVOKE agar rakyat ada peluang yang lebih tinggi menewaskan BN dalam PRU akan datang,” katanya.

Menurut beliau, sumbangan terus boleh dibuat kepada INVOKE Malaysia.- MalaysiaGazette