LONDON – Britain merancang untuk menghantar kapal perang ke wilayah pertikaian di Laut China Selatan tahun depan bagi melaksanakan eksesais navigasi bebas, kata Menteri Pertahanan Michael Fallon hari ini.

Tindakan negara tersebut dilihat akan membangkitkan kemarahan Beijing.

Britain dijangka meningkatkan kehadirannya di kawasan tersebut selepas menghantar empat pesawat pejuang bagi eksesais bersama dengan Jepun tahun lepas.

China menuntut hampir keseluruhan kawasan kaya minyak itu selain negara-negara jiran seperti Malaysia, Brunei, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

“Kami berharap boleh menghantar sebuah kapal perang tahun hadapan. Kami masih belum membuat keputusan muktamad di mana akan meletakkan kapal tersebut bagaimanapun kami tidak akan terganggu dengan tindakan China yang meronda kawasan Laut China Selatan itu.

“Kami mempunyai hak untuk bebas berlayar dan melakukan eksesais,” kata Fallon.

Tindakan Britain itu dilihat boleh menjejaskan usaha London dan Beijing yang berusaha untuk membina “era emas” kepada perhubungan mereka selepas Britain meninggalkan Kesatuan Eropah.- MalaysiaGazette