KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mencatatkan penyusutan Keuntungan Selepas Cukai Kumpulan untuk sembilan bulan bagi tahun kewangan 2017 sebanyak RM5.18 bilion berbanding RM5.58 bilion yang dilaporkan pada tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan kumpulan menyusut sebanyak 7.3 peratus disebabkan terutamanya kenaikan kos kewangan dan cukai sepanjang tempoh berkenaan.

Peningkatan Kos kewangan disebabkan oleh catatan kali pertama faedah bagi dana penjimatan daripada rundingan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) berjumlah kira-kira sebanyak RM0.15 bilion.

Dalam kenyataannya, TNB berkata, penjimatan daripada rundingan PPA adalah dana yang diwujudkan oleh Kerajaan pada tahun 2013 bagi tujuan pengumpulan simpanan daripada Rundingan Semula PPA dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) Generasi Pertama.

TNB kini adalah pemegang amanah bagi dana tersebut, sehingga ia diserahkan kembali kepada pihak kerajaan. Sejajar dengan Perintah Bekalan Elektrik Kerajaan Persekutuan (Kumpulan Wang Industri Elektrik) yang baru diwartakan pada April 2017, faedah yang perlu dibayar kepada kerajaan bagi dana penjimatan daripada rundingan PPA ini mula direkodkan ke dalam akaun Kumpulan pada suku ketiga tahun kewangan 2017.

Keuntungan Selepas Cukai turut terkesan akibat kenaikan sekaligus (once-off) cukai terutamanya disebabkan peningkatan perbelanjaan cukai tertunda (deferred taxation expense), hasil daripada peningkatan permodalan aset pada tahun kewangan 2016 dan tahun kewangan 2017, yang direkodkan pada suku ketiga tahun kewangan 2017.

Bagi sembilan bulan tahun kewangan 2017, purata harga arang batu dicatatkan lebih tinggi, iaitu RM312.30 setiap metrik tan berbanding dengan RM234.70 setiap metrik dalam tempoh sama tahun lalu.

Ini menyebabkan perbelanjaan operasi Kumpulan untuk sembilan bulan pertama ini meningkat sebanyak 6.2 peratus.

Namun kenaikan ini dikurangkan oleh peningkatan jumlah pendapatan sebanyak lima peratus terutamanya disebabkan oleh pemulangan (recoverability) kos penjanaan yang lebih tinggi melalui keberkesanan pelaksanaan mekanisma yang diluluskan oleh kerajaan iaitu Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Keuntungan Selepas Cukai bagi perniagaan dikawal selia di bawah rangka kerja IBR yang sebahagian besarnya terdiri daripada perniagaan Penghantaran dan Pembahagian adalah sebanyak RM3.09 bilion mewakili 59.6 peratus daripada Keuntungan Selepas Cukai Kumpulan bagi tempoh yang sama. -MalaysiaGazette