Felda Investment Coproration

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ada membuat serbuan keatas enam pejabat yang mempunyai kaitan dengan pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Memetik laporan Astro Awani, SPRM membuat serbuan di firma perkhidmatan audit dan perakaunan, Deloitte Malaysia di Taman Tun Dr Ismail dan firma guaman, Mohamed Ridza & Co di Damansara.

Serbuan jam 10 pagi tadi turut dibuat di pejabat Henry Butcher Malaysia (Sarawak), Raine & Horne International Zaki Partners Sdn. Bhd dan Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd di Kuching, Sarawak.

Menurut laporan itu, serbuan dilakukan bagi meneliti dokumen berkaitan pembelian hotel bertaraf empat bintang di Kuching yang dipercayai dibeli FIC dengan nilai melebihi harga pasaran.

Ini serbuan kali kedua dibuat SPRM selepas pembelian sebuah hotel di Kingston, London di antara tahun 2013 dan 2015 turut disiasat, baru-baru ini.

Hasil maklumat awal menunjukkan pembelian hotel berkenaan telah mengakibatkan FIC kerugian ratusan jutaan ringgit.

Dalam pada itu, Deloitte Malaysia menafikan laporan media bahawa pejabatnya di Menara LGB, Taman Tun Dr Ismail di sini diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Menurut Pengarah Rakan Kongsi Negara Deloitte Malaysia, Tan Theng Hooi berkata syarikat itu tidak disiasat susulan pembelian hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC). -MalaysiaGazette.