Lembaga Hasil Dalam Negeri
PETALING JAYA  – Sebanyak 145,694 orang yang berhutang pelbagai jenis cukai telah dihalang daripada meninggalkan negara setakat 30 Jun lalu.
Sinchew Daily melaporkan, mereka dihalang keluar negara kerana mempunyai jumlah tunggakan cukai mencecah RM4.1 bilion.
Daripada jumlah tersebut, 132,415 orang berhutang cukai pendapatan (RM2.7 bilion) dan sebanyak 2,463 ahli lembaga pengarah dilarang keluar negara kerana syarikat mereka berhutang cukai syarikat berjumlah RM1.1 bilion.
Selain itu, sebanyak 10,816 orang telah berhutang cukai keuntungan harta tanah yang berjumlah RM168 juta.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengambil tindakan undang-undang ke atas 6,655 orang yang gagal menjelaskan cukai bernilai RM237 juta.
Memandangkan LHDN telah memperkuatkan usaha untuk mengejar cukai, maka lebih ramai penghutang dijangka akan disenaraihitam dan dihalang keluar negara.
Selepas menghantar surat peringatan dan membuat panggilan kepada penghutang, LHDN seterusnya akan menghantar surat tindakan undang-undang kepada mereka.
Surat berdaftar akan dihantar kepada penghutang dan memaklumkan bahawa mereka telah disenarai hitam dan dilarang keluar negara.
Penghutang yang sudah menerima kelulusan melakukan pembayaran secara berjadual tetapi gagal menunaikan apa yang dipersetujui juga akan dihalang keluar negara.
Orang ramai yang ingin melakukan semakan senarai hitam boleh berbuat demikian melalui laman web Jabatan Imigresen http://sspi2.imi.gov.my dengan mengisikan nombor kad pengenalan.
Pembayar cukai yang sudah menjelaskan bayaran tetapi masih disenarai hitam perlu menghubungi pihak berkuasa secepat mungkin bagi mengelakkan perjalanan luar negara mereka terganggu.- MalaysiaGazette