Akaun bank Wanita MCA telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima wang berjumlah RM300,000 semasa Pilihan Raya 2013.
Akaun bank Wanita MCA telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima wang berjumlah RM300,000 semasa Pilihan Raya 2013.
KUALA LUMPUR – MCA pusat sedang memujuk bahagian-bahagiannya untuk menerima calon bidan terjun bagi mewakili parti komponen Barisan Nasional (BN) itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14.
China Press melaporkan, MCA pusat bagaimanapun berdepan kesukaran kerana pemimpin bahagian lebih berkeyakinan dengan potensi calon tempatan untuk memenangi pilihan raya.
MCA pada masa yang sama bimbang kemungkinan berlaku sabotaj jika calon pusat diterjunkan secara paksa ke kawasan yang tidak mengalu-alukan mereka.
Walau bagaimanapun, MCA dijangka meletakkan bidan terjun untuk  bertanding di 20 peratus daripada 40 kerusi Parlimen parti itu.
Daripadanya, kerusi Tebrau dilaporkan mempunyai kontroversi paling ketara apabila penyandang kerusi, Datuk Khoo Soo Seang yang juga Ketua Bahagian MCA Tebrau bertegas mahu memberi laluan kepada timbalannya.
MCA pusat bagaimanapun lebih senang naib presiden parti, Datuk Hou Kok Chung untuk bertanding di kerusi Johor itu.
Satu lagi kerusi yang berdepan isu seumpama ialah Bakri, juga di Johor.
Selain itu, MCA juga berdepan isu untuk mendapat kembali kerusi yang dipinjamkan pada pilihan raya sebelum ini kerana UMNO dikatakan hanya bersedia memulangkan Gelang Patah di Johor.
UMNO dilaporkan mahu memulangkan Wangsa Maju di Kuala Lumpur secara bersyarat, iaitu sebagai pertukaran untuk bertanding di Bandar Tun Razak. UMNO pada masa yang sama tidak bercadang pulangkan Kuantan di Pahang kepada MCA.
Barisan kepimpinan MCA bagaimanapun bertegas bahawa kesemua tiga kerusi yang dipinjamkan iaitu Wangsa Maju, Kuantan dan Gelang Patah harus dipulangkan.
Selain itu, kerusi Lumut di Perak merupakan kerusi tradisi MCA yang diintai UMNO.
Walaupun keadaan masih tidak menentu, sudah berlaku pertikaian dalaman sama ada MCA harus diwakili veteran parti, Tan Sri Kong Cho Ha atau calon sayap Pemuda MCA, Ting Tai Fook di kerusi Parlimen Lumut.- MalaysiaGazette