Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak tetap akan mengadakan pendengaran awam pada prosiding melibatkan bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung isu Perbadanan Menteri Besar (MB. Inc). 
Zambry Abd Kadir
IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa ‘tsunami Melayu’ tidak akan bergelora di negeri pimpinannya walaupun pembangkang asyik menggerak gempur perkara itu.
Zambry berkata, walaupun Pakatan Harapan telah dibentuk oleh pembangkang untuk menentang Barisan Nasional (BN), tetapi pakatan politik itu adalah terdiri daripada mereka yang tidak menyokong UMNO dan Pas.
Katanya, Pakatan Harapan justeru perlu berdepan dengan dua parti utama yang masih berpengaruh dalam kalangan pengundi Melayu sehingga pembangkang sukar untuk membangkitkan ‘tsunami Melayu’.
Dalam wawancara dengan akhbar Cina, Zambry berkata, ‘tsunami Melayu’ hanya akan melanda jika UMNO mengalami perpecahan dalaman.
“Apa yang berlaku sekarang ialah UMNO dikritik dari luar dan bukannya alami perpecahan dalaman,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.
Zambry berkata, walaupun “sesuatu telah berlaku” dengan gabungan tenaga antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, tetapi pengundi Melayu masih memberi sokongan kepada dua parti Melayu utama iaitu UMNO dan Pas.
Mengulas kemungkinan UMNO dan Pas berpakat, Zambry berkata, “politik adalah seni kemungkinan, apa jua perkara pun boleh berlaku.”
Mengenai MCA pula, menteri besar itu berkata, MCA perlu bekerja keras untuk memenangi Kampar, Gopeng dan Tanjung Malim kerana tiga kerusi Parlimen itu paling berpotensi untuk dipertahankan dan ditawan.
Ditanya sama ada kerusi yang diperuntuk BN kepada MCA dan Gerakan berpeluang ditambah, Zambry berkata, ia boleh berlaku jika parti berkenaan mempunyai strategi yang praktikal, kawasan yang dikenalpasti dapat menang dan calon yang mendapat sambutan.
“Saya faham masalah MCA dan Gerakan, mereka ‘dibom’ oleh DAP setiap hari sehingga pengundi berasa mereka sudah ketinggalan zaman dan tiada masa depan.
“MCA dan Gerakan bagaimanapun tidak harus putus asa dan mengaku kalah,” katanya.- MalaysiaGazette