Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim beramah mesra bersama atlet pada Majlis Pelancaran Lagu PDRM Cemerlang dan Penyerahan Bendera Majlis Sukan Sempena World Police And Fire Games 2017 di Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 JULAI 2017.
KUALA LUMPUR – Seramai 71 orang atlet anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggalas misi negara ke Kejohanan World Police and Fire Games 2017 yang akan berlangsung di Los Angeles, California, Amerika Syarikat pada Ogos ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kontinjen PDRM Malaysia akan menyertai enam jenis acara sukan dalam temasya dwitahunan itu yang akan membuka tirai dari 7 hingga 17 Ogos ini.
“Kita menyasarkan 35 pingat emas kali ini manakala menjangkakan pungutan pingat tambahan 10 peratus dalam perak dan gangsa pada temasya kali ini.
“Untuk rekod pada temasya sama tahun 2015, pasukan kita adalah antara terbaik dan berjaya memungut sebanyak 32 emas, kali ini kita optimis sasaran sebanyak 35 emas tercapai dengan semangat atlet kita,” katanya dalam sidang media selepas penyerahan bendera Kontinjen Majlis Sukan PDRM di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman.
Tambah beliau, lagu Cemerlang PDRM yang turut dilancarkan pada majlis terbabit akan dijadikan lagu pencungkil semangat untuk segala aktiviti dan sukan melibatkan PDRM sementara lagu Sang Saka akan terus menjadi lagu rasmi polis.
Kontinjen PDRM akan bersaing dalam enam acara iaitu badminton, karate, golf, tenpin, boling, berbasikal dan bina badan.
Ditanya mengenai insentif untuk atlet yang berjaya, katanya pihaknya akan melakukan apa yang patut untuk menghargai pencapaian mereka di pentas antarabangsa,” ujarnya.- MalaysiaGazette