Arkib: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group, Li Shufu (tiga kanan) dan Pengerusi DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Mohd Khamil Jamil (dua kiri) melihat model kereta terbaru Boyue yang akan diperkenalkan untuk tontongan umum selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman diantara DRB-HICOM Berhad dan Zhejiang Creely Holding Group di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKZAIREY SALIM, 23 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Berubah atau berkubur.

Atas dasar inilah Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta pihak pengurusan DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) mencari rakan kongsi strategik Proton Holdings Bhd.(Proton) supaya syarikat kereta nasional itu mampu berubah mengikut peredaran zaman.

Mengaku berjumpa dan menasihati pengurusan DRB-Hicom secara peribadi, Johari tidak mahu Proton menerima nasib yang sama seperti Perwaja Steel Sdn. Bhd. yang terpaksa ditutup kerana tidak lagi relevan dengan masa serta tidak melakukan sebarang perubahan.

“Saya katakan kepada mereka, mereka perlu cari rakan kongsi yang boleh mengubah Proton kerana kita ada semua fasiliti tetapi sayangnya di bawah kapasiti.

“Jika dibiarkan Proton terus begini kerana mereka akan hancur. Cuba tengok Perwaja Steel? Apa sudah jadi kepada mereka?,”katanya semasa sesi soal jawab majlis makan tengahari bertajuk Ekonomi Malaysia: Cabaran dan Masa Hadapan anjuran Malaysia Press Institute di sini hari ini.

Menurut Johari, pemilihan Geely adalah tepat kerana latar belakang syarikat automobil dari China itu di dalam melakukan transformasi kepada Volvo amat mengagumkan.

“Semasa saya bersekolah rendah dahulu, saya amat meminati kereta jenama Volvo kerana hanya orang kaya sahaja yang menggunakannya.

“Tetapi apabila bersekolah menengah minat saya terhadap Volvo mati kerana mereka tidak pernah berubah, 20, 30 tahun masih sama.

“Ini yang saya beritahu kepada DRB-Hicom yang mana saya mahu Proton berubah dan nasib 10,000 kakitangannya terbela.

“Geely juga mempunyai teknologi dan platform yang terkini dan boleh digunakan oleh Proton,” katanya sambil menambah, Proton boleh pergi jauh bersama Geely.

Pada 24 Jun lalu, DRB Hicom dan Geely Holdings Group telah memeterai perjanjian muktamad yang mana syarikat pembuat kereta China itu mengambil alih 49.9 peratus kepentingan di dalam Proton pada harga RM460.3 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM170 juta akan dibayar melalui suntikan tunai manakala RM290 juta digunakan sebagai perpindahan platform SUV milik Geely, Boyue kepada Proton.

Ia akan digunakan sebagai asas model SUV pertama Proton.-MalaysiaGazette

 

 

 

Comments are closed.