AWO
Pengerusi PNB, Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Setahun selepas memegang tampuk kepimpinan tertinggi sebuah institusi pelaburan yang memberi fokus kepada bumiputera, Tan Sri Abdul Wahid Omar melahirkan kesyukurannya kerana diberi sokongan untuk memantapkan lagi Permodalan Nasional Bhd. (PNB).

Tempoh setahun itu bagaikan terlalu pendek sedangkan pelbagai kejayaan dan progress telah dicapai oleh PNB antaranya pelancaran Pelan Strategik PNB 2017-2022 “STRIVE 15” yang mensasarkan PNB sebagai sebuah organisasi pelaburan berkelas dunia.

Selain itu, reaksi pasaran juga positif dengan modal pasaran keseluruhan daripada enam syarikat strategik PNB meningkat sebanyak RM40 bilion atau 28.2 peratus berbanding 1 Ogos 2016.

Peningkatan tersebut adalah lebih tinggi daripada peningkatan KLCI.

“Saya harus katakan, saya dan Datuk Abdul Rahman Ahmad (Ketua Pegawai Eksekutif PNB) sangat beruntung kerana menerima baton daripada Tun Ahmad Sarji dan Tan Sri Hamad Kama Piah sebuah institusi yang kukuh dan berintegriti dalam PNB.

“Kami bersyukur dengan sokongan daripada warga PNB dari hari pertama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Wahid, selepas setahun di PNB, beliau merancang untuk memperuntukkan sedikit masa bagi memberi sokongan kepada syarikat-syarikat strategiknya dalam menjayakan transformasi dan peningkatan prestasi mereka antaranya dengan bersetuju untuk dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Property Bhd. – MalaysiaGazette