Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Focus Group Budget 2018 : Mengurangkan Kos Menjalankan Perniagaan di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 02 OGOS 2017

PUTRAJAYA – Malaysia tidak boleh berterusan bergantung kepada pekerja asing jika mahu mencapai Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, negara bukan lagi sebuah ekonomi kecil kerana perdagangan sudah mencapai RM1.3 trilion dan jumlah dagangan dunia pula RM1.5 trilion.

Lantaran itu, negara perlu menambah nilai industri dengan bersedia ke arah Industri 4.0 seperti data, Internet, robotik, artificial intelligence (kecerdasan buatan) dan automasi.

“Tetapi jika negara masih bergantung kepada pekerja asing, Malaysia tidak akan berada dalam Industri 4.0,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajey 2018: Mengurangkan kos perniagaan di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Tambah beliau, bukan Malaysia tidak memerlukan langsung pekerja asing tetapi ia perlu diuruskan bersama peserta-peserta industri negara.

“Kita perlu kerjasama semua, bukan kerajaan sahaja. Kalau industri berterusan mengambil pekerja asing tanpa izin, susahlah, masalah.

Johari berkata, industri sebenarnya menjadi punca kepada pekerja asing tanpa izin apabila mewujudkan persekitaran tidak kondusif.

“Mereka ambil pekerja asing dan memegang pasport, pekerja lari disebabkan persekitaran tidak kondusif dan kemudian ambil lagi pekerja lain. Mereka ini yang menyebabkan pekerja asing tanpa izin,” ujar beliau.

Bagi menangani masalah ini, kerajaan akan mengadakan dialog dengan Kementerian Sumber Manusia dan persatuan-persatuan perdagangan untuk mengenal pasti mekanisme yang lebih holistik dalam menangani pekerja asing.

“Kita akan duduk berbincang dengan Bank Negara Malaysia, Jabatan Imigresen dan persatuan-persatuan perdagangan.

“Kita mahu gaji pekerja-pekerja asing ini dibayar melalui akaun bank. Bila ada gaji mereka tidak lari. Masalahnya majikan tidak bayar gaji dan pekerja terpaksa berhutang empat, lima bulan.

“Majikan tidak bayar sebab kontraktor utama tidak bayar, kontraktor tak bayar sebab pemaju tidak bayar. Banyak isu, bukan masalah kerajaan sahaja. Semua pihak kena melihat masalah ini.

“Jadi, semua pihak perlu patuhi polisi yang akan diperkenalkan oleh Jabatan Imigresen nanti. Ia adalah polisi yang komprehensif. Mana-mana pekerja asing tanpa izin, perlu tampil dan memudahkannya,” kata beliau. – MalaysiaGazette