Ketua MCA Pandan merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Choon Hwa Pandan, Datuk Leong Kok Wee (tengah) bersama ahli jawatankuasa dan penduduk setempat membantah mengenai pembangunan di tapak sekolah di Taman Lembah Maju, Ampang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 OGOS 2017

AMPANG – Kerajaan negeri Selangor diminta tidak mempolitikkan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choon Hwa Pandan, di Taman Lembah Maju, Ampang yang terbengkalai lebih tujuh tahun lalu.

Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee mendakwa, penempatan semula SJKC Choon Hwa yang kini terletak di Batu 18 Hulu Langat ke Ampang tidak dapat dilakukan berikutan pembangunan sekolah itu tidak diluluskan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

MPAJ didakwa menolak permohonan kebenaran merancang dan pelan pembangunan tanah seluas  3 ekar (1.21 hektar) yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan kerana keluasan tanah tidak mencapai 5 ekar (2.02 hektar) untuk projek itu.

Katanya, kedua-dua permohonan itu yang dikemukakan awal Januari tahun ini telah ditolak dengan alasan keluasan tanah 3 ekar (1.21 hektar) sedia ada tidak mencukupi dan memerlukan tanah seluas 5 ekar (2.02 hektar) untuk projek itu.

Kok Wee menjelaskan, pembinaan sekolah baharu yang dirancang di Pandan itu  SJKC Choon Hwa di Pandan meliputi sebuah blok empat tingkat dengan 36 bilik darjah dan segala kemudahan moden dan peruntukan lebih RM3 juta sudah diterima dari Kementerian Pendidikan.

“Kami mengesyaki ini bukan isu yang disengajakan MPAJ, tetapi kerajaan Pakatan Harapan Selangor mempunyai agenda tersembunyi dan mempolitikkan isu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

“SJKC Choon Hwa di Hulu Langat akan ditutup selepas ia dipindahkan ke Pandan sekali dengan yuran dan kos pengangkutan 38 pelajar itu ke Pandan akan ditanggung pihak kami. Ia juga bagi menampung lebih 3,000 murid di sini memandangkan SJKC On Pong 2 yang terletak pada radius sekilometer di sini sudah tidak mampu menambah murid.

“Sekolah Choon Hwa Pandan adalah alternatif kepada penduduk Pandan di sini tetapi sehingga sekarang terbengkalai kerana tiada kelulusan untuk pembangunan tersebut,” dakwanya dalam sidang media bersama penduduk mendukung sepanduk mengecam wakil rakyat di Taman Lembah Maju, Pandan di sini.

Ketua MCA Pandan merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Choon Hwa Pandan, Datuk Leong Kok Wee bercakap kepada media mengenai pembangunan di tapak sekolah di Taman Lembah Maju, Ampang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 04 OGOS 2017

Mereka berkumpul di tapak cadangan binaan sekolah itu sambil membawa kain rentang yang tertera perkataan “Ean Yong Hian Wah, Rafizi Ramli dan Tiew Way Keng supaya menjawab kepada rakyat kenapa kerajaan Pakatan Harapan menyusahkan pembinaan SJKC Choon Hwa” dalam bahasa Melayu dan Cina.

Mereka sedih projek itu terbengkalai bertahun lama sambil membidas sikap MPAJ kerana pihaknya tidak dapat memahami mengapa tanah seluas 1.2 hektar sedia ada tidak sesuai untuk pembinaan sekolah itu tanpa menyatakan secara bertulis keperluan tanah tambahan seluas 2 hektar bagi projek yang sama.

Beberapa tahun lalu kerajaan pusat meluluskan pembinaan tujuh sekolah baharu dan menempatkan semula 13 sekolah termasuk SJKC Choon Hwa ke lokasi baharu.

“Salah satu sekolah iaitu SJKC Bukit Serdang dengan tanah berkeluasan 1.2 hektar sahaja sudah dilaksanakan (penempatan semula) tiga tahun lalu, tetapi pembangunan SJKC Choon Hwa di Pandan ditolak .

“MPAJ tidak memberi sebab terperinci kenapa permohonan ditolak dan logik perlunya 2 hektar tanah tambahan?, sama ada tanah 1.2 hektar ini tidak sesuai dengan kedudukan geografi tanah di sini ke atau apa sebab lain.

“Kami juga hendak merayu semula kepada MPAJ dengan permohonan baharu tetapi sebelum itu memerlukan penjelasan bertulis MPAJ sebab penolakan permohonan itu supaya ia dapat disertakan dalam permohonan semula meminta KPM dan kerajaan Pusat menambah tanah,” jelasnya.

Kok Wee yakin arkitek dan perunding pembangunan sekolah berkenaan akan menguruskan rayuan dan permohonan tanah tambahan sebagai menyegerakan proses kelulusan dan pembinaan sekolah tersebut.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Choon Hwa, Cheong Yew Hon, 65, sedih dengan sikap berdolak-dalik MPAJ dan kerajaan negeri dalam meluluskan pembangunan sekolah itu.

“Janganlah cuba mempolitikkan pendidikan dan pembangunan sekolah ini, sila bersikap profesional, selesaikan masalah kami di sini.

“Kami memang pelik projek ini terbengkalai bertahun lama tetapi wakil rakyat pembangkang yang diberi mandat di Parlimen Pandan, Rafizi Ramli tidak ambl peduli perkara ini manakala Ahli Dewan Undangan Negeri DAP, Teratai Tiew Wey Keng sengaja memprovokasikan isu sekolah Choon Hwa menerusi protes jalanan,” tegasnya. – MalaysiaGazette